Nor Azura Abdul Jalil


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membenarkan pihak pendakwaan mewartakan notis supaya pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas wang lebih RM216 juta dipercayai terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menuntut harta itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan itu mengikut notis di bawah Seksyen 56(1) dan 61(2) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Mohamed Zaini dengan itu memberi masa dua bulan untuk pihak pendakwaan selaku pemohon melaksanakan proses pewartaan notis berkenaan.

Tujuh pihak berkenaan adalah UMNO, bekas Ahli Parlimen Paya Besar, Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail, Wanita MCA, syarikat pengurusan acara Binsabi Sdn Bhd, syarikat pelaburan Perano Sdn Bhd, Badan Perhubungan UMNO Sabah dan bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek.

Ia bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kelak bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Wang berkenaan disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu berhubung dengan pelakuan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1)

Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 membabitkan tujuh responden.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 29 Julai ini untuk pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 1:07 PM
HASAN. FOTO Mohd Yusni Ariffin