PEGAWAI KPDNHEP Sarawak ketika operasi pemantauan harga simen. FOTO Ihsan KPDNHEP
PEGAWAI KPDNHEP Sarawak ketika operasi pemantauan harga simen. FOTO Ihsan KPDNHEP
Garret Dawum


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan terhadap pengilang serta peruncit simen di negeri ini bagi mendapatkan maklumat berkenaan harga produk itu di pasaran.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak Mohd Hanizam Kechek berkata, setakat ini pihaknya sudah memberikan dua notis terhadap pengilang simen di Kuching dan Bintulu mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Syarikat terbabit perlu memberikan maklumat harga simen dalam tempoh tujuh hari.

“Jika gagal menjawab notis dalam tempoh masa ditetapkan pihak syarikat boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut akta terbabit,” katanya kepada media selepas pemeriksaan dan penyerahan notis maklumat harga simen peringkat peruncit di Kuching, semalam.

Mohd Hanizam berkata, pengguna boleh menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP jika ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang.

“Kami akan segera mengambil tindakan dan menjalankan pemeriksaan jika menerima sebarang aduan,” katanya.

Aduan boleh disalurkan menerusi talian 1800446800, laman sesawang [email protected], WhatsApp ke 019-2794317 atau hadir di pejabat KPDNHEP berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 2:44 PM