Tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming

EMPAT remaja termasuk tiga lelaki bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, atas tuduhan membunuh lelaki berumur 49 tahun, 10 Jun lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh yang berusia antara 13 hingga 19 tahun itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Herlina Muse.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa membunuh mangsa antara 1 hingga 2 pagi di Taman Permainan Jalan Persisiran Tawau, 9 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama kerana melakukan kesalahan membunuh dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Herlina kemudiannya menetapkan 16 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Mengikut fakta kes, mayat lelaki dikenali sebagai Jaafar, ditemui di dalam longkang dipercayai dibunuh kira-kira 5 petang pada 10 Jun.

Mayat mangsa yang lengkap berpakaian ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam longkang yang dipenuhi semak samun dengan kesan luka tikaman pada bahagian dada sebelah kanan dan bahagian tengkuk sebelah kiri.

Polis turut menemui pemutar skru dan pisau berhampiran tempat mayat mangsa, dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 3:45 PM