Antara lelaki yang ditahan ketika membungkus dan mengisi arak tiruan dalam botol. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


“BOS cakap jangan bimbang, ini minum tak boleh mati punya,” itu antara alasan lelaki tempatan ketika diminta polis menunjukkan demonstrasi membungkus dan mengisi arak tiruan dalam botol selepas dia ditahan di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Kajang, Georgetown semalam.

Lelaki berusia 38 tahun itu mendakwa dia hanya mengikut arahan ‘bos’ untuk mengisi arak tiruan di rumah yang dijadikan tempat membungkus dan mengisi minuman keras terbabit tanpa mengetahui bagaimana ia diadun dan dibancuh.

“Bos tak mahu kongsi apa ramuan yang dimasukkan dan hanya menghantar tong besar berisi arak sebelum meminta saya dan beberapa pekerja lain mengisinya dalam botol.

“Memang saya tak tahu apa kandungannya dan hanya mengikut cakap ‘bos’ untuk isi arak dalam botol yang kemudian dibawa lori untuk diedarkan,” katanya.

Lelaki terbabit bagaimanapun menunjukkan demonstrasi bagaimana dia mengisi arak dalam botol kosong sebelum melekatkan label jenama minuman keras itu hingga kepada menggunakan mesin penutup botol.

Kerja itu dilakukan tidak sampai dua minit namun ramuan arak palsu terbabit boleh mengundang kematian kerana ia dipercayai dicampur metanol.

Menurutnya, dia sudah bekerja sejak empat tahun lalu di premis terbabit dengan seorang lelaki tempatan yang dipanggil ‘bos’.

“Betul, ‘bos’ cakap ini barang tak boleh mati malah saya juga ada minum arak ini dan sehingga kini masih hidup seperti orang lain,” katanya.

Dalam serbuan 4 petang itu, tujuh lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan yang semuanya berusia 20 hingga 40-an ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, sindiket memproses arak tiruan itu dikesan sudah aktif sejak empat tahun lalu.

Berita berkaitan

Polis serbu kilang arak beracun [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 3:53 PM