FOTO Hiasan
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) bakal mengadakan Aqdun Mubarak: Program Memeterai Kontrak Keberkatan Ilahi bagi membantu umat Islam yang ingin berkahwin.

Timbalan Pengarah (Operasi) JAIS Salwana Ahmad Dahlan berkata, program itu sekali gus dapat membendung masalah

hutang selepas nikah, bersekedudukan dan terjerumus dalam perangkap nikah sindiket.

Katanya, pasangan di negeri itu akan dinikah dan diraikan dalam majlis sederhana namun menepati syariat Islam.

“Dengan modal serendah RM1,000 untuk setiap pasangan, pasangan terbabit akan bernikah secara sah dan dapat melangsungkan majlis dengan diraikan keluarga serta sahabat handai,” katanya menambah ia adalah penyelesaian kepada pasangan yang mempunyai masalah kewangan tetapi ingin bernikah, berdasarkan aduan diterima jabatan itu sejak lebih empat tahun lalu.

Katanya, bukan hanya semata-mata program bernikah ramai-ramai, ia juga jalan keluar kepada masalah perkahwinan tidak mengikut prosedur jabatan agama yang sering dilaporkan saban tahun malah, membantu keluarga berkenaan mengadakan majlis kenduri.

“Ada beberapa perkara yang dapat kita selesaikan menerusi program seperti ini. Ramai yang ingin bernikah, tetapi dek kerana kos yang mahal untuk mengadakan majlis, hasrat itu terpaksa ditangguhkan. Lebih memburukkan keadaan, ada yang bersekedudukan, berkahwin di luar negara dan menggunakan khidmat nikah sindiket.

“Sebenarnya JAIS sudah mengadakan program seperti ini sejak 2015, dan Alhamdulillah, ramai yang dapat kita bantu. Tahun lalu saja, 78 pasangan dinikahkan dan majlis yang diadakan juga meriah walaupun berkongsi ruang yang sama.

Kalau diikutkan, pada 2016, kita terima 1,000 kes pernikahan tidak mengikut prosedur atau yang bermasalah selepas bernikah di luar negara. Itu hasil pemutihan yang kita lakukan,” katanya kepada Harian Metro.

Salwana berkata, dengan bayaran itu, pasangan akan mendapat set bergambar, jurufoto, cenderahati pengantin, kompang, cenderahati tetamu, santapan barakah, jamuan tetamu, selain bayaran nikah, sijil nikah dan kad nikah disediakan secara percuma.

Menurutnya, ia akan dibahagikan kepada tiga zon iaitu Petaling, Gombak dan Hulu Selangor (Zon 1) yang akan diadakan di Masjid Al Hidayah, Taman Melawati Gombak pada 31 Ogos 2019, Zon 2 (Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam) di Masjid Puncak Alam, Kuala Selangor pada 7 September 2019 dan Zon 3 (Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang) di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya pada 23 November 2019.

“Setiap pasangan boleh membawa bersama 40 orang tetamu terdiri daripada ahli keluarga mereka untuk bersama-sama memeriahkan majlis ini dan ia sebenarnya sudah cukup untuk majlis kenduri dan menepati konsep sederhana di dalam agama.

“Islam ini mudah tetapi jangan kita permudahkan mengikut cara sendiri. Akad nikah tak sampai pun 10 minit. Jadi jangan buat pernikahan tanpa mengikut undang-undang, contohnya nikah di sempadan atau tak ikut prosedur. Sekarang ini permohonan nikah secara atas talian, mungkin masyarakat dimomokkan secara negatif mengatakan prosedur susah dan sebagainya.

“JAIS nak membantu pasangan yang ingin berkahwin dengan melakukan perkara yang wajib saja, yang penting pernikahan itu berlaku secara sah dan mengikut ketetapan syarak,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh layari laman web www.jais.gov.my untuk mengetahui syarat-syarat dan borang penyertaan atau hubungi Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 4:43 PM