CHE Ku Mohd Zul Ikhwan (depan) dan Zaki Sulong bersama beruk peliharaan mereka. FOTO/ Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


“BERUK mempunyai hari tertentu yang boleh menyebabkan ia naik minyak dan menyerang tuannya, jadi penternak perlu peka bagi mengelak diserang haiwan itu,” kata Zaki Sulong, 53, pemilik beruk dari Kampung Gelugor Haji Tahir, Kuala Terengganu.

Zaki akui dia sendiri pernah diserang haiwan itu sebanyak tiga kali tetapi bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius memandangkan taring beruk peliharaannya itu sudah dicabut.

“Saya membela beruk sejak 25 tahun lalu untuk memetik kelapa dan ilmu penjagaan beruk diwarisi daripada bapa, (Mohamad [email protected], 80).

“Semua ahli keluarga termasuk adik-beradik dan anak saudara aktif menyediakan perkhidmatan memetik kelapa menggunakan beruk di sekitar daerah ini,” katanya.

Tambahnya, setiap penternak perlu peka dengan tabiat beruk kerana haiwan itu tidak seperti anjing yang sentiasa setia dan tidak mencederakan penjaganya walaupun ia disakiti.

Kebiasaannya, beruk berusia tiga tahun ke atas berpotensi menyerang tuannya terutama ketika musim mengawan.

“Pemilik beruk yang peka dengan perubahan itu akan membiarkan beruk itu bersendirian dan ia memang tidak boleh dipaksa memanjat pokok kerana berisiko menyerang tuannya.

“Beruk yang naik minyak biasanya menunjukkan keletah berbeza daripada biasa. Beruk yang aktif akan berubah menjadi kurang aktif, makanan yang diberikan juga tidak dijamah dan memerlukan masa beberapa hari untuk pulih seperti sedia kala,” katanya yang mempunyai enam ekor beruk.

Menurut Zaki, beruk yang berusia lebih daripada tiga tahun biasanya disaran dicabut taringnya sebagai langkah keselamatan.

“Semua pemilik beruk sedia maklum dengan saranan mencabut taring beruk matang tetapi berdegil kerana lebih mementingkan keuntungan kerana beruk yang bertaring lebih cepat memetik kelapa berbanding beruk tidak bertaring.

“Beruk bertaring lebih produktif kerana ia menggunakan kekuatan taringnya untuk menggigit tangkai kelapa dan menjatuhkannya. Manakala beruk tidak bertaring hanya mampu memulas tangkai kelapa sekali gus memakan masa yang lama,” katanya.

Bagi Che Ku Mohd Zul Ikhwan, 27, dia masih baru dalam kegiatan memelihara beruk itu dan sentiasa berjaga-jaga serta sentiasa menimba ilmu mengenai haiwan itu.

“Pemilik perlu lebih garang daripada beruk yang dipeliharanya kerana jika tidak, beruk itu enggan mendengar arahan dan boleh menyerang pemiliknya pada bila-bila masa.

“Sehingga kini, saya tidak pernah berhadapan dengan beruk yang naik minyak kerana selalu berwaspada dan mempunyai dua ekor beruk berusia dua dan lima tahun.

“Di sebalik risiko diserang beruk, memelihara haiwan itu memberi pengalaman yang sangat menyeronokkan berbanding memelihara haiwan lain. Beruk ialah haiwan yang cerdik tetapi sangat kuat cemburu,” katanya yang berasal dari Kampung Pengkalan Stor.

Pada 19 Jun lalu, seorang warga emas maut selepas digigit beruk peliharaannya, dalam kejadian di Kampung Lebang Besar, Tepoh, Kuala Nerus.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Ngah Muhammad, 72, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kehilangan darah selepas pergelangan tangan kanannya digigit haiwan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 5:35 PM