Status dan gambar terbaru Ainul Mardhiah yang dimuat naik bapanya di Facebooknya hari ini. FOTO Ihsan FB Ahmad Safiuddin Ahmad Razak


“AINUL sihat, alhamdulillah. Semakin aktif dan sekarang tangan dia makin cepat masuk ke mulut,” kata bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24.

Perkembangan itu dimaklumkan bapanya ketika menjawab 10 pertanyaan yang diajukan netizen kepadanya melalui Facebook.

Menjelaskan lanjut mengenai kesihatan Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin berkata, anaknya itu terbatuk sendiri apabila memasukkan jari ke dalam mulut hampir ke tekak kerana jarinya yang panjang.

“Sendiri buat, sendiri menangis. Lepas itu dia buat lagi. Alahai anak! Kaki dan tangan pun dan mula aktif.

“Dah pandai tak mahu tidur juga Ainul sekarang ini! Lain-lain keadaannya juga bertambah baik, berat pun semakin meningkat dan tubuh badannya bertambah panjang,” katanya dalam status dimuat naik di Facebook hari ini.

Ahmad Safiuddin berkata, beliau meminta maaf berikutan jarang mengemas kini perkembangan anaknya itu kerana terlupa.

Katanya, pihaknya sudah tidak memerlukan sumbangan daripada orang ramai.

“Alhamdulillah, rakyat Malaysia sangat pemurah hati! Mungkin tuan dan puan yang pemurah hati ini, boleh salurkan duit itu kepada orang lain yang mungkin nasibnya sama seperti Ainul.

“Kami yakin, di luar sana ada ramai bayi atau kanak-kanak perlukan bantuan kita semua. Jadi bantulah mereka agar urusan mereka dipermudahkan.

“Untuk bahagian Ainul, kami hanya minta doa saja. Sebab doa itulah senjata paling utama bagi Ainul.

“Doakan semoga Allah SWT berikan Ainul kesembuhan secara menyeluruh dan ketumbuhan yang pernah berada di tubuhnya dulu tidak lagi kembali dengan izin-Nya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Safiuddin berkata, mereka akan pulang ke tanah air apabila anaknya itu sudah bersedia serta menghabiskan rawatannya di London.

Menurutnya, orang ramai boleh melawat anaknya itu namun seeloknya memberitahu terlebih dulu demi kebaikan dan kesihatannya.

“Mungkin kami hanya tetapkan seorang setiap hari atau satu keluarga saja datang melawat untuk mengelakkan Ainul daripada dijangkiti kuman atas nasihat doktor.

“Ainul masih dalam fasa sembuh, sistem imun dia mungkin belum cukup kuat, selepas melalui ujian lama yang memerlukannya berehat untuk kuatkan semula sistem tubuh badan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Safiuddin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang memberikan kata-kata semangat dan doa kepada anaknya itu.

“Alhamdulillah, terima kasih kami ucapkan. Ramai juga PM yang beri kami kata semangat dan doa. Terharu dibuatnya!

“Kami doakan semoga doa yang baik itu Allah SWT kembalikan semula kepada anda dan keluarga,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 6:15 PM