FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


REMAJA perempuan bawah umur diperintah ditahan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor selama enam bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Marang selepas dicekup dalam keadaan mengaibkan bersama kekasihnya yang juga pengembala lembu.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof selepas tertuduh yang berusia 16 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang hanya bersekolah sehingga tingkatan satu itu ditahan bersama pasangannya berusia 19 tahun di sebuah bilik hotel di daerah ini, 2.15 pagi pada 21 Jun lalu.

Pendakwaan kes berkenaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melakukan serbuan berwaran hasil maklumat awam di sebuah bilik hotel di sini.

Sebaik tiba di hadapan bilik berkenaan, pintu bilik berkunci sebelum anggota JHEAT bertindak mengetuk pintu dan memberi salam beberapa kali.

Pintu itu kemudiannya dibuka seorang lelaki yang hanya memakai seluar denim tanpa berbaju sebelum anggota memperkenalkan diri untuk pemeriksaan.

Selepas itu anggota pengkuat kuasa mendapati tertuduh wanita sedang baring di atas katil dalam keadaan berselimut tanpa pakaian sebelum soal siasat mendapati mereka bukan suami isteri yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 6:15 PM