Dua beradik dipercayai hilang selepas keluar ke sekolah semalam. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki


BAPA merayu bantuan ramai mengesan dua anaknya yang menghilangkan diri selepas keluar dari rumah di Blok A Flat Taman Megah, Pontian untuk ke sekolah semalam.

Mohd Fairus, 12, sepatutnya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pontian dan abangnya, Mohd Adam Mohd Taufik,16, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perhentian bagaimanapun tidak pulang ke rumah masing-masing.

Bapanya, Mohd Taufiq Mohd Tarmizi, 37, berkata, apabila diperiksa dua beradik yang berpakaian seragam sekolah ketika keluar rumah tidak menuju ke sekolah yang jaraknya kira-kira tiga kilometer.

“Biasanya mereka berjalan kaki bersama dan pulang selepas waktu persekolahan tetapi semalam mereka tidak pulang dan saya tidak sangka perkara ini berlaku.

“Isteri Sofiza Zahari, 37, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini dan kami berharap pihak berkuasa dan orang ramai dapat membantu kami mencari mereka,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, siasatan awal mendapati dua beradik itu keluar ke sekolah pada 6.30 pagi semalam.

“Kami mengklasifikasikan kes ini sebagai ‘orang hilang’ dan siasatan selanjutnya sedang dijalankan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada IPD Pontian di talian 07-687122 atau pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Fikri (013-4149917) bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 8:28 PM