FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


DUA lelaki termasuk seorang warga emas didenda sebanyak RM2,600 di Mahkamah Rendah Syariah Marang, hari ini kerana berjudi.

Tertuduh berusia 77 tahun yang juga duda kepada lapan orang anak dan seorang lagi lelaki berusia 50 tahun turut berdepan hukuman penjara enam bulan lagi sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 22 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh itu ditahan di sebuah premis di Bukit Payong pada 5.35 petang, 13 Mac lalu.

Proses pendakwaan itu dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melakukan serbuan berwaran di premis di Bukit Payong kerana disyaki ada menjalankan aktiviti perjudian.

Selepas membuat pemantauan, anggota penguat kuasa yang berada di pintu belakang premis masuk dan mendapati terdapat dua lelaki beragama Islam dipercayai sedang berurusan untuk membeli nombor ekor.

Hasil pemeriksaan, anggota penguat kuasa itu kemudiannya menemui 14 keping nombor ramalan di dalam poket seluar dipakai lelaki berusia 77 tahun, manakala sembilan keping nombor ramalan ditemui di dalam beg duit lelaki berusia 50 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 10:35 PM