LACAZE dan suami, Wayne Morgan beramah mesra bersama anak kurang upaya pada Majlis Hari Raya Aidilfitri di kilang LYNAS.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


KUANTAN: LYNAS Corporation Ltd (LYNAS) akan cuba mengitar semula residu dari sisa water leach purification (WLP) di kilang miliknya di kawasan perindustrian Gebeng di sini, dalam tempoh lima tahun akan datang.

Itu antara langkah diambil syarikat berkenaan sebelum kilang melupuskan sisa mengandungi bahan radioaktif semula jadi (NORM) siap dibina di Australia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze berkata, pihaknya akan memastikan semua residu itu diuruskan dalam tempoh berkenaan sebelum fasa pertama pemindahan kilang itu dilakukan.

“Kita sudah melakukan pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) membabitkan WLP dan kita berjaya menghasilkan bahan asas jalan dan produk perapi tanah dikenali sebagai CondiSoil daripada residu ini.

“Semua R&D dilakukan melalui pengawasan daripada pelbagai pihak berkuasa yang berkaitan dan kita sudah beberapa kali disahkan selamat untuk beroperasi di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Anjuran LYNAS di pekarangan Kilang LYNAS Advance Material Plant (LAMP) di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu.

Lacaze berkata, sekiranya rancangan kitar semula itu gagal, LYNAS akan membina fasiliti pelupusan kekal (PDF) untuk menguruskan residu itu.

“Kerajaan negeri sudah bersetuju untuk meluluskan satu kawasan di negeri ini untuk dibina PDF namun kami tidak dimaklumkan di kawasan mana,” katanya.

Ditanya mengenai pendengaran rayuan yang akan berlangsung Jumaat itu, Lacaze berkata, beliau yakin nasib menyebelahi mereka memandangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah memaklumkan LYNAS akan dibenarkan terus beroperasi di Malaysia.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan ADUN Semambu, Lee Chean Chung membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin, Lacaze berkata, pihaknya seakan sudah imun dengan keadaan seperti itu sejak LYNAS memulakan operasi.

“Laporan seperti ini sudah biasa kami hadapi sejak LYNAS beroperasi di Gebeng kira-kira lapan tahun lalu, sedangkan kita sudah melalui pemeriksaan oleh pelbagai agensi seperti Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

“Selain itu kita juga sudah menyediakan laporan impak alam sekitar sebelum dibenarkan beroperasi, saya tidak tahu apa masalah mereka sehingga berterusan membantah kilang ini,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan LYNAS memindahkan operasi secara berperingkat ke Australia pula, Lacaze berkata, keputusan itu tidak menjejaskan komitmen LYNAS dalam menyediakan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada perkembangan ekonomi Malaysia.

“Kita akan tetap mengekalkan komitmen kepada pekerja dan melabur di Malaysia supaya kami dapat terus menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini,” katanya.

Kelmarin, Pengarah Urusan LYNAS Malaysia, Datuk Mashal Ahmad dalam satu kenyataan media memaklumkan pihaknya sudah mengenal pasti dua tapak yang berpotensi untuk dibina kilang memproses nadir bumi berhampiran lombong milik mereka di Australia Barat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 5:30 AM