ROHAIMI menunjukkan peralatan dan komputer yang digunakan sindiket berkenaan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


PETALING JAYA: Sindiket perjudian dalam talian dikesan mampu mengaut keuntungan mudah hingga mencecah RM2 juta sebulan.

Keuntungan itu menyebabkan sindiket terbabit mampu menyewa kondominium mewah bagi mengelakkan pusat operasi mereka dihidu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket didalangi rakyat tempatan itu terbongkar apabila anggota Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman menyerbu dua kondominium di Bukit Utama di sini, jam 7.30 pagi semalam.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya melakukan risikan selama sebulan sebelum menahan 14 individu tempatan berusia 18 hingga 61 tahun termasuk dalang.

Menurutnya, semua suspek terbabit dipercayai bertindak sebagai operator pusat panggilan itu yang bekerja 24 jam sehari mengikut syif.

Katanya, mereka berperanan mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian dengan menghantar mesej ke SMS, aplikasi WhatsApp dan Wechat secara rawak kepada pelanggan.

“Pelanggan yang berminat bertaruh perlu memuat turun aplikasi disediakan sindiket berkenaan sebelum memindahkan wang pertaruhan ke akaun bank yang disediakan.

“Individu yang ditahan itu juga berperanan menguruskan setiap transaksi keluar dan masuk wang secara dalam talian menggunakan akaun bank dari negara itu bagi perjudian.

“Hasil siasatan awal sindiket mampu mengaut keuntungan sehingga RM2 juta sebulan hasil kegiatan haram mereka,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi terbabit, di sini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi sejak setahun lalu dan sentiasa berpindah-randah bagi mengelakkan operasi mereka dikesan polis.

“Hasil semakan terhadap data yang ditemui, polis percaya semua nombor telefon yang dimiliki mereka dibeli daripada pembekal.

“Semua individu terbabit ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 6:01 AM