NOTIS penutupan jalan yang merupakan laluan keluar masuk sepanjang kira-kira 200 meter di Jalan Dalip yang akan dipagar pihak pengurusan Pengakap negeri di Kampung Pengkalan Badak, Bemban dekat Jasin.
Nurul Fhatihah Zakinan


JASIN: Sebelas keluarga di Kampung Pengkalan Badak di Bemban di sini, berharap laluan alternatif sepanjang lebih 200 meter dekat Jalan Dalip tidak ditutup.

Mereka mendakwa pengurusan Kem Perangkap Negeri Melaka sudah menaikkan notis menutup laluan itu dan mahu memasang pagar di kelilingnya berikutan kes kecurian di kem berkenaan.

Penduduk juga mendakwa dengan penutupan itu akan menyulitkan mereka untuk keluar masuk dan terpaksa menggunakan jalan lain yang lebih jauh.

Malah penduduk, Ahmad Salam Hamdan, 65, yang rumahnya paling dekat dengan kawasan itu mendakwa pemasangan papan notis secara tiba-tiba menyukarkan dia sekeluarga untuk keluar rumah.

“Notis pemberitahuan itu dipasang dekat laluan keluar masuk ke rumah saya tanpa maklumkan apa-apa menyebabkan kami terkejut.

“Masalah timbul sekarang apabila kami tiada laluan lain untuk keluar masuk kerana itu satu-satunya laluan yang digunakan sebelum ini,” katanya, semalam.

Dia yang juga OKU cacat penglihatan berkata, sudah mendiami kawasan itu 20 tahun lalu dan tidak membantah pemasangan pagar terbabit sekiranya disediakan laluan alternatif lain.

Seorang lagi penduduk enggan dikenali berkata, dia menyedari pihak yang memasang dua papan notis pemberitahuan itu jam 10 pagi kelmarin dengan penduduk diberi tiga bulan untuk mencari laluan alternatif lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 6:30 AM