Suraya Roslan


PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memulangkan sejumlah wang kepada 1,400 pemegang akaun susulan peningkatan mendadak tarif elektrik dalam bil pelanggan kediaman Mei lalu.

Ketua Pegawai Peruncitan TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati 1,400 pengguna yang membuat aduan berhubung bil tinggi diselesaikan melalui pemulangan wang atau kredit ke dalam bil berikutnya sejak hujung Mei hingga semalam.

“Bagaimanapun, bukan semua aduan diselesaikan melalui pembayaran semula wang bergantung kepada hasil lawatan di tapak dan siasatan kami.

“Sebahagian bermasalah dengan meter lama iaitu penggunaan jangka lama rosak, kami tukar jangka baru dan kami buat penyelarasan atas bil pengguna,” katanya selepas membawa media melawat Kedai Tenaga dan TNB Careline di sini, semalam.

Menurutnya, TNB menyelesaikan 38,000 aduan berhubung tarif bil pengguna daripada keseluruhan 45,000 aduan diterima di 125 Kedai Tenaga, TNB Careline, Facebook serta e-mel TNB.

“Kami masih berusaha menyelesaikan aduan ini secara individu sebagai contoh aduan sampai di Careline, kami membuat semakan akaun pengguna terbabit, beri maklum balas kemudian buat pemeriksaan di tapak untuk memastikan ada perkara yang perlu kamibuat.

“Aduan bil tinggi ini tercetus di Melaka beberapa minggu sebelum Hari Raya, kami sedia maklum di Melaka TNB ada buat projek pemasangan meter baru dipanggil Smart Meter.

“Meter ini memberi fungsi kebaikan kepada pengguna untuk memantau bil mereka menerusi aplikasi My TNB, bagaimanapun dalam masa sama memberi kesan kepada 5,000 bil pengguna yang sedikit naik disebabkan penukaran meter baru,” katanya.

Megat Jalaluddin berkata, disebabkan meter lama dan usang menyebabkan kejituan jangka lari.

“Apabila diganti meter baru, ada sebahagian pengguna berlaku peningkatan dalam bil. Kami yakin meter baru ini berfungsi dengan baik kerana diuji piawaian Suruhanjaya Tenaga (ST).

“Selain itu, kami buat analisis kepada pengguna lain selain di Melaka, kami dapati 15 hingga 20 Mei ada gangguan sistem pengebilan iaitu kesannya ada pengguna menerima bil dalam jangka masa lebih 30 hingga 31 hari.

“Ia beri kesan kepada jumlah bil yang menjadi sedikit tinggi kerana jumlah penggunaan lebih daripada biasa, bagaimanapun kami buat sistem prorata untuk memastikan pengguna dikenakan caj mengikut tarif band ditetapkan ST,” katanya.

Ditanya mengenai jangkaan pemasangan Smart Meter di seluruh negara, Megat Jalaluddin berkata, pihaknya melakukan ujian penilaian selepas apa yang berlaku di Melaka.

“Kami menjangka memasangnya di seluruh negara secara berperingkat, tetapi perlu buat analisis dulu terhadap projek ulung di Melaka.

“Kami pastikan segala perkara berbangkit di Melaka tidak berulang dan penelitian dilakukan ketika ini,” katanya.

Sebelum ini, ramai pengguna media sosial mendedahkan bil elektrik mereka melambung tinggi sebelum TNB menjelaskan jumlah bil elektrik yang perlu dibayar adalah berdasarkan kepada bacaan meter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 7:00 AM
MEGAT Jalaluddin mendengar masalah pelanggan di Kedai Tenaga TNB di Petaling Jaya, semalam.