Yuszerin Mat Yunus, 37, membersihkan lantai rumahnya selepas banjir surut di Kampung Bukit Datuk A, Tanjung Minyak. FOTO Khairunisah Lokman
Mohd Hilmie Hussin dan Hassan Omar


HUJAN lebat selama sejam di Melaka hari ini menyebabkan banjir kilat berlaku di beberapa kawasan.

Hujan bermula 6.30 pagi itu menyaksikan air menggenangi beberapa jalan di sekitar Bukit Katil, Melaka Baru dan Gangsa.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, banjir kilat berlaku disebabkan longkang tidak mampu menampung air.

“Air yang menggenangi jalan sudah surut apabila hujan berhenti 8 pagi tadi,” katanya.

Begitupun, beberapa rumah di beberapa kawasan masih digenangi air dan setakat ini tiada penduduk dipindahkan.

Beliau berkata, antara kediaman terjejas di Kampung Tun Razak; Taman Jati, Batu Berendam; Kampung Pengkalan Rama Pantai; Taman Rambai Jaya; Taman Rambai Utama; Kampung Bukit Datuk A, Tanjung Minyak; Kampung Belian dan Bukit Rambai.

Beliau berkata, di beberapa lokasi seperti Taman Kudu berlaku kejadian pokok tumbang.

“Di daerah Alor Gajah, 14 mangsa daripada dua keluarga terjejas apabila kediaman mereka dimasuki air, namun tiada pusat pemindahan dibuka berikutan penghuni rumah menunggu air surut dan hanya masing-masing satu wanita dewasa dan bayi perempuan berpindah ke rumah saudara,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Rambai, Mohd Nasir Mamat berkata, hujan lebat pada awal pagi menyebabkan penduduk mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang air naik.

“Sebanyak 15 rumah di Taman Rambai Indah dinaiki air tetapi surut sejam selepas itu.

“Kawasan lain yang turut dinaiki air ialah sepanjang Sungai Air Salak, Taman Rambai Utama dan Kampung Bukit Datuk serta Kampung Bukit Rambai dan saya sudah meminta mereka membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui di Taman Rambai Indah hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 3:47 PM