TANAH runtuh di tapak pembinaan Jalan Tanjung Batu Ferringhi, Tanjung Bungah, kira-kira jam 9.30 malam mengorbankan empat mangsa. FOTO/ Danial Saad
Hadzlihady Hassan


“SAYA sedang menyiram pokok sebelum terdengar bunyi dentuman kuat,” kata tukang kebun, Zulkefli Tinggal, 61, yang juga saksi kejadian tanah runtuh yang mengorbankan empat pekerja lelaki warga Myanmar di Lost Paradise Resort, Tanjung Bungah, malam tadi.

Zulkefli berkata, jarak antaranya dengan lokasi kejadian ketika itu hanya kira-kira 50 meter dan sejurus melihat runtuhan itu, dia terus bergegas lari melihat dengan lebih dekat.

“Saya hanya nampak kawasan terbabit ditutup dengan timbunan tanah namun tidak tahu ada orang tertimbus atau sebaliknya sebelum terus berlari memaklumkan kejadian kepada majikan.

“Memang ketika itu saya sangat cemas dan sebaik dimaklumkan ada mangsa, saya hanya mampu beristighfar dan berdoa supaya mereka selamat,” katanya yang turut bekerja sebagai pengawal keselamatan di resort terbabit sejak 11 tahun lalu.


SAKSI kejadian tanah runtuh, Zulkefli, yang berkhidmat sebagai tukang kebun dan pengawal keselamatan resort. FOTO/ Ramdzan Masiam

Dalam kejadian jam 9.25 malam itu, empat pekerja lelaki warga Myanmar maut selepas terperangkap dalam timbunan tanah yang runtuh ketika mereka melakukan kerja pembinaan tembok penahan tanah.

Lebih menyedihkan apabila tiga daripada mangsa ditemui dengan keadaan masih berdiri sambil memegang besi cerucuk manakala mayat seorang lagi ditemui terbaring.

Seorang daripada mangsa yang dikenali sebagai Ong dikatakan mengambil upah daripada pemilik resort terbabit untuk membina tembok penahan tanah itu dengan bayaran RM400 sehari selama 20 hari bekerja.

Dia kemudian mengajak tiga rakan senegara untuk bersama melakukan kerja terbabit dan mayat Ong turut ditemui dalam keadaan berdiri.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Moktar berkata, semua empat mayat terbabit ditemui antara jam 11.15 malam hingga 3.35 pagi.

“Mayat mangsa pertama yang tidak mempunyai identiti berjaya dikeluarkan jam 1.59 pagi manakala mangsa kedua yang dikenali sebagai Ong pula dikeluarkan jam 2.33 pagi.

“Seterusnya pada jam 3.08 pagi kita berjaya mengeluarkan mayat mangsa ketiga yang dikenali sebagai Nai Cho In manakala mangsa terakhir yang tiada identiti berjaya dikeluarkan jam 4.27 pagi,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya jam 4.45 pagi sejurus semua mayat berjaya dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 5:05 PM