BERNAMA

KIRA-KIRA 43 peratus pengguna di Malaysia tidak berpuas hati dengan pengalaman penghantaran e-dagang mereka, menurut kaji selidik oleh Parcel Perform dan laman web meta-carian iPrice Group.

Kaji selidik itu menunjukkan Malaysia mencatatkan tempoh transit paling lama di rantau ini, dengan penghantaran mengambil masa 5.8 hari berbanding purata masa serantau selama 3.3 hari.

Pengguna di Singapura, Thailand dan Vietnam lebih berpuas hati dengan pengalaman penghantaran e-dagang mereka berbanding Indonesia dan Malaysia, kata kedua-dua agensi itu dalam kenyataan bersama hari ini.

Kaji selidik itu meliputi kira-kira 80,000 pengguna e-dagang di Singapura, Malaysia, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Ia dijalankan oleh Parcel Perform, penyedia platform menjejak bungkusan yang merangkumi 600 syarikat pengangkut logistik di seluruh dunia.

Sementara itu, kaji selidik yang dijalankan di seluruh Asia Tenggara itu menunjukkan 34 peratus pengguna terus melihat penghantaran bungkusan sebagai halangan terbesar dalam e-dagang.

Lebih 90 peratus aduan pengguna dan maklum balas negatif berkaitan dengan penghantaran lewat atau kurang komunikasi mengenai status penghantaran.

Kaji selidik itu juga menunjukkan meskipun kepuasan pengguna faktor utama bagi mengekalkan pelanggan, mengoptimumkan pengalaman penghantaran ternyata penting bagi menambah baik nilai sepanjang hayat pelanggan.

Justeru, syarikat pengangkutan tempatan di Asia Tenggara boleh mengambil peluang ini untuk meningkatkan data logistik mereka dengan anggaran tarikh penghantaran bagi meningkatkan penilaian kepuasan pelanggan mereka.

Sebaik-baiknya, pengguna menjangkakan pemberitahuan penghantaran dan kemas kini secara tetap dan mengharapkan anggaran tarikh penghantaran dipenuhi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 5:49 PM