X
LAPORAN portal Harian Metro mengenai video tular menunjukkan seorang wanita berang selepas anaknya didakwa dirotan pada lengan dan paha selepas memanggil guru lelakinya pondan.
LAPORAN portal Harian Metro mengenai video tular menunjukkan seorang wanita berang selepas anaknya didakwa dirotan pada lengan dan paha selepas memanggil guru lelakinya pondan.
Mohd Sabran Md Sani


ISU membabitkan seorang wanita tularkan video guru merotan anak perempuannya di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru, akan menemui titik penyelesaian esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan berkata, ia berikutan satu pertemuan membabitkan kedua-dua pihak akan diadakan petang esok.

“Isu ini sudah hampir selesai dan semua pihak terbabit iaitu guru, pelajar, ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersetuju bertemu petang esok.

“Diharap pertemuan itu akan dapat mencari jalan penyelesaian terbaik kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Surat Tawaran Program Sistem Latihan Dual Nasional anjuran Unit Strategik Modal Insan Johor di Johor Bahru, hari ini.

Beliau turut berharap supaya insiden itu tidak menjadi semakin meruncing hingga membabitkan undang-undang.

“Sekiranya boleh, tidak perlu membabitkan tindakan undang-undang,” katanya.

Aminolhuda berkata, pihaknya turut menasihati kedua-dua pihak untuk sama-sama berganding tangan dalam membentuk generasi muda akan datang.

“Guru selaku pendidik memang perlu bersabar, perlu faham situasi dan sebarang tindakan diambil perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Sebagai ibu bapa, dinasihatkan mereka supaya mengambil tahu akan tingkah laku dan permasalahan dihadapi anak mereka.

“Ibu bapa membimbing anak mereka di rumah, manakala guru membimbing pelajar di sekolah,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa perlu memahami tugas guru yang bertanggungjawab mendidik generasi muda kerana guru akan terus mengajar dan masyarakat akan sentiasa memerlukan guru untuk membimbing anak.

Portal Harian Metro semalam melaporkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor mengesahkan video tular menunjukkan seorang wanita berang selepas anaknya didakwa dirotan pada lengan dan paha selepas memanggil guru lelakinya pondan, berlaku di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru.

Pengarahnya Azman Adnan dipetik sebagai berkata, kejadian itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Menerusi video berdurasi dua minit dan 28 saat itu, seorang wanita dilihat mempersoalkan tindakan guru lelaki selepas didakwa merotan anak perempuannya yang juga pelajar sekolah menengah.

Guru berkenaan dilihat memberi penjelasan mengenai tindakannya merotan pelajar terbabit, namun dipertikaikan ibu berkenaan sambil menunjukkan kesan birat pada tubuh anaknya.

Berikutan insiden itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru sudah diarahkan menjalankan siasatan berhubung tular video pelajar dirotan guru pada lengan dan paha dalam kejadian di sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di Johor Bahru.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, siasatan bagi memberi keadilan kepada kedua-dua pihak iaitu guru dan murid terbabit insiden itu.

Katanya, sudah menerima laporan berhubung seorang guru merotan seorang murid perempuan kerana menegurnya sebagai cikgu pondan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 6:43 PM