GAMBAR hiasan
Norasikin Daineh


DEMI mahu menunaikan permintaan adik yang sedang mengandung mengidamkan mangga, seorang wanita maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengambil buah itu dalam kejadian di kebun miliknya di Kampung Terusan, Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian 10 pagi, mangsa, Sarimah Dalam, 58, melecur 90 peratus selepas sabit buah yang digunakan diperbuat daripada logam tersangkut pada wayar elektrik.

Menurut anak mangsa, Stellah Tajuid, 36, ketika kejadian, ibunya dikatakan mahu mengambil buah mangga itu untuk ibu saudaranya yang sedang mengandung.

“Dia mahu kait untuk adiknya yang mengidam mangga muda. Dia guna sabit kelapa sawit namun secara tidak sengaja, terkait pada wayar elektrik menyebabkannya terkena renjatan elektrik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Stellah berkata, dia yang baru tiba dari Pulau Pinang terkejut sebaik menerima berita itu sebelum bergegas pulang dengan mengambil penerbangan ke Kota Kinabalu.

“Saya hanya tiba di kampung jam 5 pagi tadi dengan menaiki bas dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu namun arwah ibu sudah dikebumikan semalam kerana keadaan jenazahnya yang kurang sempurna.

“Saya cuma kesal tidak dapat berjumpa dengannya kerana sudah empat tahun tidak pulang ke kampung dan arwah ada menyatakan hasrat mahu datang ke Pulau Pinang untuk menjenguk saya pada Aidiladha nanti,” katanya.

Katanya lagi, kali terakhir bercakap dengan arwah ibunya pada dua hari lalu dan beliau tidak menunjukkan sebarang tanda mahu meninggalkan mereka.

“Biasanya kami akan membuat panggilan telefon dan video untuk melepas rindu pada cucunya. Tetapi tidak pula dia menunjukkan tanda mahu pergi selamanya.

“Tetapi kami sudah reda dengan kehilangannya itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, mangsa yang terkena renjatan elektrik rebah dan segera dibawa ke Hospital Lahad Datu sebelum disahkan meninggal dunia akibat melecur.

“Mangsa cedera di seluruh badan dan melecur 90 peratus akibat renjatan elektrik. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 11:21 AM