REMAJA terbabit. FOTO AADK
Abnor Hamizam Abd Manap


ANGGOTA penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Jempol berdepan kesukaran sebaik dimaki hamun keluarga ketika menjalankan operasi pencegahan dadah di sekitar gugusan FELDA Palong, Jempol, kelmarin.

Malah, ibu bapa kepada seorang remaja lelaki bertindak menyembunyikan anak mereka berusia 17 tahun dalam almari pakaian bagi mengelak dicekup.

Ketua Pegawai AADK Jempol, Ahmad Sabri Mohd Yusof berkata, lapan anggota penguat kuasa menjalankan operasi itu bermula 11 malam, kelmarin dan berakhir awal pagi, semalam.

“Pihak AADK menerima maklumat mengatakan seorang remaja lelaki yang tidak bersekolah terbabit aktiviti penggunaan dadah. Kami bergegas ke kediamannya di FELDA berkenaan namun dimarahi ahli keluarga,” katanya.

Lebih malang menurut Ahmad Sabri, ibu bapa remaja itu memasukkan anak mereka dalam almari pakaian dan menghalang tugas pihak berkuasa.

“Selepas 10 minit dipujuk, barulah mereka bekerjasama dan kami menemui remaja itu dalam almari di sebuah bilik. Sebaik ditahan remaja itu menafikan menagih dadah tetapi ujian air kencing mendapati dia positif syabu,” katanya.

Beliau berkata, remaja itu dibebaskan dengan jaminan pegawai AADK dan pihaknya meminta ahli keluarga bekerjasama untuk menyelesaikan masalah dadah.

Dalam operasi sama, pihaknya menahan seorang wanita dan empat lelaki yang berusia 26 hingga 30 tahun kerana terbabit penggunaan dadah.

Katanya, semua mereka dirujuk ke Pusat Khidmat Sukarela (CCSC) AADK Port Dickson dan direman 13 hari sehingga 8 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 11:36 AM