Mohd Jamilul Anbia Md Denin
am@hmetro.com.my


PELAWAK terkenal yang diberkas polis bersama dua rakannya kelmarin disahkan polis positif mengambil dadah ganja.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Cheras menerima panggilan memaklumkan berlaku pertengkaran mulut membabitkan dua lelaki dan seorang wanita di lobi hotel di Taman Maluri Cheras, Kuala Lumpur, 5.45 petang kelmarin.

Menurutnya, anggota Balai Polis Cheras kemudian diarahkan untuk ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan.

“Semasa seorang anggota polis wanita membuat pemeriksaan badan ke atas salah seorang suspek wanita, dia menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat kira-kira 55 gram.

“Susulan itu, pelawak terbabit bersama dua lagi individu terbabit ditahan sebelum dibawa ke IPD Cheras untuk menjalani ujian saringan air kencing,” katanya.

Beliau berkata, saringan air kencing terhadap pelawak berusia 41 tahun itu mendapati lelaki terbabit positif mengambil ganja.

“Manakala rakan lelakinya berusia 35 tahun dan wanita berusia 25 tahun masing-masing didapati positif mengambil dadah syabu.

“Susulan itu pelawak yang pernah membintangi filem itu ditahan reman selama sehari semalam sebelum dibebaskan. Dia yang memiliki empat rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Menurutnya, dua lagi suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga esok bagi membolehkan polis meneruskan siasatan mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Berita berkaitan:

  • Pelawak terkenal ditahan polis
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 11:47 AM