RINA (kiri) bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas majlis. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar sahkan tidak pernah mengeluarkan memo bagi melarang kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menghadiri majlis hari raya yang dianjurkan pembangkang.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, kementerian tidak menghalang perkara itu dan terpulang kepada mana-mana kakitangan untuk menyertai acara itu memandangkan ia terbuka kepada orang ramai.

“Saya tidak pasti pasal memo itu, tetapi kalau kita lihat tidak pernah mengeluarkan memo sebegitu, takkan pergi rumah terbuka tidak boleh.

“Nama pun rumah terbuka, terpulang kepada sesiapa untuk menghadirinya, macam kita mengadakan rumah terbuka baru-baru ini, kita jemput semua orang tanpa mengira fahaman politik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 di Putrajaya, hari ini.

Beliau mengulas penularan satu memo yang didakwa dikeluarkan KEMAS bertarikh semalam yang melarang semua kakitangan jabatan itu di Machang, Kelantan menghadiri sebarang program, mesyuarat dan keraian termasuk sambutan Hari Raya anjuran pembangkang.

Memo itu juga memaklumkan tindakan tatatertib akan dikenakan sekiranya mereka didapati melanggar larangan ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 1:21 PM