Foto hiasan.
BERNAMA

SEORANG wanita maut terkena renjatan elektrik ketika memetik mangga di kebunnya di Kampung Terusan, Jalan Lahad Datu-Kunak, Lahad Datu, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata mangsa, Sarimah Dalam, 58, dipercayai memetik buah itu dari pokok menggunakan alat menjolok diperbuat daripada logam pada 10 pagi.

“Tanpa disedari mangsa, sewaktu mengambil mangga, alat itu tersangkut pada wayar elektrik di kawasan berkenaan.

“Mangsa yang terkena renjatan elektrik kemudian rebah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nasri berkata, mangsa yang ditemui keluarganya terbaring kemudian dikejarkan ke Hospital Lahad Datu dan doktor bertugas mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat melecur 90 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 2:40 PM