DR Mahathir berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Pembangunan Luar Bandar. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Wan Faizal Ismayatim dan Irwan Shafrizan Ismail

TUN Dr Mahathir Mohamad berpendapat pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak perlu ditangguhkan sebaliknya perlu diadakan lebih awal memandangkan kepemimpinan yang ada kini adalah dilantik.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU berkata, pemimpin yang dipilih secara lantikan tidak berjaya untuk mengembangkan parti itu.

“Kita berpendapat bahawa amat penting untuk kita adakan pemilihan lebih awal. Tidak tangguh.

“Kita dapati bahawa pentadbiran sekarang ini berasas kepada pemimpin yang dilantik, kadang kadang tak berjaya mengembangkan parti,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada selain melakukan pindaan perlembagaan parti adakah pemilihan akan ditangguh.

Hari ini sebuah portal berita melaporkan bahawa BERSATU sedang mempertimbangkan untuk menangguhkan pemilihan kepimpinan partinya yang pertama antara enam bulan hingga setahun untuk menyelesaikan pendaftaran di beberapa cawangannya.

Menurut laporan itu, pemilihan parti yang sepatutnya dilangsungkan tahun ini perlu ditangguhkan bagi memastikan semua cawangan terbabit didaftarkan secara sah mengikut peruntukan Akta Pertubuhan 1966.

Baru-baru ini, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau yakin BERSATU akan menjadi lebih kuat selepas pemilihan yang akan diadakan buat kali pertama selepas tiga tahun parti itu ditubuhkan.

Katanya, pemilihan itu akan diadakan selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa bagi meminda beberapa perlembagaan parti itu antaranya dari segi disiplin, keahlian dan pemilihan yang dijadualkan pada bulan hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 3:05 PM