ANTARA individu yang menziarahi jenazah Allahyarham. FOTO NSTP
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


“MESKIPUN bapa mengalami lumpuh separuh badan sejak 23 tahun lalu, namun arwah kuat semangat dan panjang umur sehingga menghembuskan nafas terakhir pagi tadi usia 84 tahun,” kata Shahizan Hasnan, 51, anak kepada bekas Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Hasnan Aziz.

Allahyarham meninggal dunia jam 6 pagi tadi dipercayai kerana masalah jantung di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dimasukkan ke pusat rawatan berkenaan sejak Mac lalu.

Shahizan berkata, bapanya mengalami masalah jantung pada 1996 dan menjalani pembedahan pintasan jantung, namun mengalami lumpuh separuh badan kerana mengalami pendarahan dalaman.

“Sejak itu bapa tidak dapat bergerak dengan baik. Selepas 23 tahun mengalami strok, jantung bapa semakin lemah sebelum dimasukkan ke IJN dan keadaannya bertambah parah apabila lumpuh seluruh badan,” katanya ketika ditemui di Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Dia berkata, kesihatan bapanya semakin hari semakin teruk selain tidak dapat berkomunikasi sebelum disahkan meninggal dunia, jam 6 pagi tadi.

“Walaupun mengalami lumpuh sejak 1996, semangat dia kental dan umurnya panjang. Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.

Jenazah dimandi dan disolatkan di Masjid Bukit Aman, dan pengebumian disempurnakan selepas Solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir di Masjid Bukit Aman adalah Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor, bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Shamsuri Arshad serta Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias.

Berita berkaitan:

  • Hasnan Aziz meninggal dunia
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 3:06 PM