X
KEADAAN motosikal mangsa yang terperosok di bawah lori dalam kemalangan di Jalan Kota Samarahan - Sadong Jaya. FOTO Melvin Joni
KEADAAN motosikal mangsa yang terperosok di bawah lori dalam kemalangan di Jalan Kota Samarahan - Sadong Jaya. FOTO Melvin Joni


DUA lelaki maut selepas motosikal ditunggangi bertembung dengan lori dalam nahas di Jalan Kota Samarahan- Sadong Jaya di Kota Samarahan, semalam.

Dalam kejadian 8 malam itu, pembonceng motosikal berkenaan maut akibat terperosok di bawah lori kesan daripada pelanggaran itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, ketika kejadian, lori terbabit dalam perjalanan dari arah Sadong Jaya menuju ke Kota Samarahan.

“Ketika melalui selekoh, motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan. Situasi berkenaan mengakibatkan lori itu tidak sempat mengelak lalu bertembung.

“Impak pelanggaran begitu kuat dengan motosikal ditunggang masuk ke bahagian bawah lori,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

POLIS melihat keadaan motosikal mangsa yang terperosok di bawah lori. FOTO Melvin Joni
POLIS melihat keadaan motosikal mangsa yang terperosok di bawah lori. FOTO Melvin Joni

Katanya, ketika kejadian keadaan cuaca berada dalam keadaan baik.

“Penunggang motosikal berusia 22 tahun dari Kampung Jemukan Tengah, Sadong Jaya, disahkan meninggal dunia di Klinik Asajaya, manakala pembonceng berusia 34 tahun dari Kampung Jemukan, Sadong Jaya, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa turut dibawa ke Bahagian Forensik, HUS untuk tindakan lanjut.

Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 4:01 PM