Pasar terapung bakal diwujudkan di pesisir muara Sungai Terengganu berhampiran jambatan angkat di Kuala Terengganu. Foto Ghazali Kori
Hanneeyzah Bariah Baharin


PASAR terapung (floating market) seperti yang popular di negara jiran khususnya Thailand dan Indonesia bakal diwujudkan di pesisir muara Sungai Terengganu berhampiran jambatan angkat di Kuala Terengganu.

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pasar terapung itu akan menjadi antara tarikan pelancongan yang akan diwujudkan di kawasan jambatan angkat yang juga mercu tanda baru kebanggaan penduduk negeri itu.

Menurutnya, sebelum pelaksanaan pasar terapung itu, kerajaan negeri sudah mengenal pasti beberapa masalah yang perlu diambil perhatian termasuk isu sampah di kawasan perairan.

“Kita mahu wujudkan pasar terapung sebagai satu tarikan baru selaras dengan pembangunan jambatan angkat yang kini menjadi sebutan di serata dunia terutama negara Asia.

“Dulu masa hendak buat jambatan angkat pun ramai yang persoal isu pencemaran dan sebagainya, tetapi lihatlah kesannya apabila siap ia menjadi sebutan dan kebanggaan ramai.

“Kita sudah pelajari apa kelemahan pasar terapung di Hatyai, Thailand dan Bandung, Indonesia, kita akan ambil langkah perlu supaya ia tidak berlaku di sini,” katanya ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan PAS Terengganu, hari ini.

Sementara itu, Dr Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga mengalu-alukan mana-mana operator sukan paragliding untuk beroperasi di Bukit Maras, Marang yang menjadi tumpuan peminat sukan ekstrem berkenaan mutakhir ini.

“Kita galakkan semua warga Terengganu bermain sukan ini. Bentuk muka bumi di Bukit Maras menjadikannya destinasi paling sesuai untuk mengadakan aktiviti paragliding.

“Justeru, kita alu-alukan operator berminat untuk beroperasi di Bukit Maras dan secara tidak langsung dapat memastikan aspek keselamatan peminat sukan itu terutama sekiranya berlaku sebarang kemalangan tidak diingini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 4:46 PM