Mohammad (kanan) bersama Ketua Pasukan Pengesan HAZMAT Mohd Yusri Yusoff menunjukkan peta lokasi pemeriksaan bacaan kualiti udara di Kawasan Perindustrian Jalan Platinum berhampiran Kampung Pasir Gudang Baru. Foto Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


PEMANTAUAN kualiti udara pada hari kelapan di sekitar Pasir Gudang oleh Unit Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM menunjukkan bacaan kualiti udara baik.

Pakar HAZMAT Negeri Sembilan Timbalan Penguasa Bomba Mohammad Idris berkata, kualiti udara ditunjukkan menerusi alat pengesan gas tidak berubah dan sama seperti dicatatkan sejak tiga hari lalu.

Menurutnya, empat pasukan pengesan mengambil bacaan tiga kali sehari di kawasan industri, perumahan dan sekolah sekitar kawasan terbabit.

“Satu pasukan pengesan merekodkan bacaan di kawasan industri, manakala tiga lagi pasukan bagi bacaan kualiti udara di kawasan perumahan dan sekolah.

“Kami mengambil bacaan sekurang-kurangnya di tiga kawasan setiap hari pada waktu pagi, petang dan malam,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai pasukan pengesan pertama HAZMAT di kawasan industri di Jalan Platinum, hari ini.

Menurutnya, pengambilan kualiti udara di kawasan industri mengambil kira penggunaan kimia oleh semua syarikat beroperasi di kawasan berkenaan.

“Semua kilang guna kimia tetapi bukan semua kilang guna bahan yang sama,” katanya ditanya mengenai pemilihan lokasi industri bagi pemantauan kualiti udara.

Mohammad berkata, semua hasil pemantauan kualiti udara direkodkan setiap hari dan akan diserahkan kepada jawatankuasa khas.

Ditanya mengenai jarak antara kawasan industri dan penempatan penduduk, katanya, jarak paling hampir antara dua hingga tiga kilometer.

“Pemantauan hari ini juga mendapati keadaan cuaca tidak menentu dan berangin,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 5:46 PM