KES pertama SPRM membabitkan bekas guru besar di Bilik Bicara Mahkamah Bergerak hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


BEKAS guru besar sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Tawau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa membabitkan projek pembekalan dan kerja penyelenggaraan sekolah bernilai RM20,803 kepada syarikat milik suaminya.

Vera Voo Mui Yin, 63, yang berdepan enam pertuduhan membuat pengakuan itu di Bilik Bicara Mahkamah Bergerak, hari ini, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mui Yin dituduh menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan apabila membuat keputusan memilih Karisma Padu Enterprise iaitu syarikat milik suaminya, Ho Khi Fatt untuk membekalkan barangan yang dinyatakan melalui pesanan sekolah secara berasingan bertarikh 2 Mac 2012 dan 8 Mei 2012, masing-masing berjumlah RM5,768 dan RM3,800.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh juga didakwa menggunakan jawatannya dan memilih syarikat milik suaminya itu untuk membuat kerja penyelenggaraan bilik solat dan tandas kegunaan murid, guru dan kakitangan pendidikan melalui pesanan bertarikh 20 Mac 2013 berjumlah RM3,980.

Bagi pertuduhan keempat, Mui Yin didakwa menggunakan jawatannya sebagai penjawat awam untuk mendapatkan suapan bagi kerja mengecat semula tangga, dinding dan besi di blok bangunan utama dan tingkat bawah hingga tingkat empat melalui pesanan bertarikh 29 Mac 2013 berjumlah RM3,650.

Sementara itu, bagi pertuduhan kelima dan keenam, dia didakwa melakukan perkara sama iaitu menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi kerja membekalkan perihal barangan yang dinyatakan melalui pesanan sekolah secara berasingan bertarikh 15 Ogos 2014 dan 30 September 2014 masing-masing berjumlah RM2,319 dan RM1,286.

Mui Yin didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama untuk semua pertuduhan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basirudin manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Simon Shim Kong Yip.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri ke pejabat SPRM sebulan sekali.

Abu Bakar turut menetapkan 25 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 7:17 PM