Siti Sofia Md Nasir
siti.sofia@bh.com.my


SEORANG pemilik tanah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini atas dakwaan membenarkan tanahnya dijadikan kawasan longgokan sampah haram, Mac lalu.

H’ng Boon Chai, 65, selaku Orang Kena Saman (OKS), membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Shamsol Azwa Martadza, selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam dialek Hokkien.

Mengikut kertas pertuduhan, H’ng didakwa membenarkan tanahnya dijadikan tempat longgokan sampah haram yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk serta menimbulkan kacau ganggu daripada segi kebersihan akibat daripada pengumpulan sampah haram itu.

Kesalahan itu dilakukan di sembilan lot tanah miliknya dengan anggaran jumlah keluasan 20.33 hektar di Mukim 16, Bukit Teh, pada 20 Mac lalu, kira-kira jam 11.45 pagi.

Warga emas itu didakwa mengikut Seksyen 82(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Shamsol Azwa kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan jika tidak bayar boleh dihukum penjara tiga bulan penjara.

Selain itu, katanya, OKS perlu memindahkan sampah ke tapak pelupusan dalam tempoh 14 hari dan mengemukakan bukti tanah itu sudah dibersihkan kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa MPSP, Siti Rahmah Md Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam Francis Goh.

Mac lalu, akhbar melaporkan kawasan lapang berkeluasan hampir dua hektar dekat Kampung Berangan Sembilan, Bukit Teh, Bukit Mertajam dijadikan tempat membuang sisa pepejal secara haram sejak tiga tahun lalu.

Perkara itu didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon, yang turut menemui ratusan longgokan sisa pepejal berbau busuk dan berdebu, dikhuatiri sisa bahan kimia berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 8:16 PM
H’NG didenda RM1,000 di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini selepas mengaku bersalah membenarkan tanahnya dijadikan kawasan longgokan sampah haram, Mac lalu. FOTO Danial Saad.