LAPORAN portal Harian Metro mengenai kemalangan yang mengorbankan Muhammad Aeril Akhtar ketika menaiki motosikal bersama ibunya.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


POLIS meminta pemandu kereta Perodua Axia yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Gong Pasir di Dungun, semalam sehingga mengorbankan kanak-kanak, Muhammad Aeril Akhtar Mohd Rizal, 6, tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, hasil semakan yang dilakukan mendapati kereta bernombor pendaftaran JSL 265 berwarna hijau itu didaftarkan di atas nama Nor Shafizal Dalina Abu Bakar.

Katanya, pemandu yang terbabit, termasuk pemilik kenderaan itu diminta membuat laporan di mana-mana balai polis berdekatan dengan segera.

“Kita berharap pemilik kenderaan itu tampil untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian berlaku.

“Orang ramai yang mengenali pemilik atau pemandu kenderaan itu turut diminta membantu pihak polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian 1.15 tengah hari itu, motosikal dibonceng Muhammad Aeril Akhtar bersama ibunya yang melawan arus terjatuh sebelum Muhammad Aeril Akhtar terjatuh ke atas jalan.

Dalam masa sama, kereta Perodua Axia gagal mengelak sebelum menggilis mangsa dan kenderaan itu dikatakan melarikan diri.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum disahkan meninggal 2.20 petang ketika diberi rawatan kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 8:17 PM