BERNAMA

MULAI 3 Julai ini, sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian, JPJeBid akan diguna sepenuhnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bermula dengan nombor pendaftaran VDP.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, pihaknya berpuas hati dengan kelancaran sistem JPJeBid itu yang tidak berdepan dengan masalah akses walaupun pernah merekodkan lebih 8,000 transaksi menjelang tempoh akhir bidaan.

“Bidaan ini akan berlangsung setiap minggu dengan tempoh lima hari diberikan untuk satu-satu nombor sebelum beralih ke siri nombor seterusnya.

“Seramai 903 pembida menggunakan sistem JPJeBid bagi siri VDN dengan bidaan tertinggi adalah sebanyak RM158,000 untuk nombor bernilai utama VDN1,” katanya pada sidang media mengenai keputusan JPJeBid bagi siri VDN di Putrajaya, hari ini.

Shaharuddin berkata, daripada 903 pembida itu, 463 daripadanya berjaya dalam bidaan masing-masing, sekali gus membawa hasil kutipan keseluruhan RM1.31 juta.

Beliau berkata, projek rintis sistem JPJeBid dilaksanakan bagi nombor pendaftaran khas untuk Putrajaya iaitu FC pada April lalu.

Menurutnya, pihaknya mempertimbangkan untuk melaksanakan sistem JPJeBid secara berperingkat ke seluruh negara bermula di negeri seperti Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 8:38 PM
SHAHARUDDIN (tengah) bersama pegawai JPJ menunjukkan antara nombor pendaftaran kenderaan siri 'VDN' yang dibida pada sidang di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.