MASJID Tengku Razaleigh yang dibina berinspirasikan Masjidil Haram, Makkah. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


JIKA selama ini Masjid Muhammadi di Kota Bharu menjadi tumpuan, Masjid Razaleigh yang menyerupai model Masjidil Haram, Makkah bakal menjadi tarikan baharu di Kelantan apabila pembinaannya siap hujung tahun ini.

Masjid itu bukan sahaja akan menjadi mercu tanda baharu Gua Musang dan Kelantan, malah dijangka menjadi tarikan pelancong yang membuatkan pengunjungnya seolah-olah berada di Masjidil Haram.

Masjid Razaleigh yang berkeluasan 70,000 kaki persegi itu bernilai lebih RM28 juta diilhamkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di atas tanah berkeluasan 1.5 hektar.

Masjid dengan rekaan unik dan menarik itu dibina menggunakan bahan binaan berkualiti tinggi, termasuk jubin mula dibina akhir 2016 dan dijangka siap sebelum hujung tahun ini dan mampu menampung sehingga 3,500 jemaah pada satu-satu masa.

Keunikan masjid berkenaan bukan sahaja besar tetapi tertumpu kepada rekaan warna, jubin, hiasan dalaman dan hiasan luar, termasuk dilengkapi dengan sembilan menara setinggi 30 meter dan tujuh kubah mirip Masjidil Haram, Makkah.

Pengarah Projek Inspirasi Perkasa Sdn Bhd, Mohd Mizi Miah berkata, masjid berkenaan sudah 95 peratus siap dan kini dalam proses ukiran di bahagian luar termasuk kubah dan menara.

Beliau yang juga kontraktor utama masjid berkata, ukiran dalaman dan luar diinspirasi daripada reka bentuk Masjidil Haram sebelum ia diubah suai.

“Masjid ini akan menjadi ikon kepada negeri Kelantan dan Gua Musang bagi menarik pelancong dalam negeri dan luar untuk mengunjungi lokasi ini.

“Masjid ini turut dilengkapi dengan kemudahan seperti ruang solat utama, ruang solat terbuka, dewan serba guna, rumah imam, ruang kelas, bilik komputer, perpustakaan, tandas dan tempat letak kereta yang cukup.

“Pembinaan ikon negeri ini bertujuan memberi kemudahan kepada masyarakat setempat dan pengunjung dari luar untuk menunaikan ibadat yang lebih selesa kerana ia dilengkapi dengan pendingin hawa.

“Selain itu, pembinaannya juga bertujuan untuk menyemarakkan lagi aktiviti di masjid, termasuk penganjuran seminar, ilmu agama, kelas tuisyen dan ceramah kepada komuniti setempat,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.


RAKAMAN dari udara Masjid Tengku Razaleigh. FOTO Fathil Asri

Menurutnya, masjid berkenaan juga bakal ‘dihidupkan’ dengan pelbagai aktiviti selama 24 jam.

Selain itu, katanya, tujuan pembinaan masjid juga untuk menambah pendapatan kepada penduduk sekitar apabila dapat menjalankan aktiviti ekonomi dalam bidang perniagaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff berkata, pembinaan masjid baharu itu untuk menggantikan Masjid Razaleigh yang lama.

Katanya, keunikan masjid itu apabila menggunakan kepakaran arkitek dan bahan binaan yang dikeluarkan 100 peratus orang tempatan.

“Ia menunjukkan pakar tempatan juga mampu membina sebuah masjid yang bukan sahaja indah dan unik, tetapi akan menjadi tumpuan jemaah untuk menunaikan solat memandangkan Gua Musang menjadi laluan utama pengguna untuk ke Kuala Lumpur.

“Ciri-ciri reka bentuk masjid itu mirip Masjidil Haram yang lama sebelum bermulanya pengubahsuaian Masjidil Haram dan secara amnya dari 2006.

“Ruang solat utama seakan-akan di ‘King Abdul Aziz’ dan “Safa Marwah” tetapi ia diubah suai mengikut kesesuaian bagi kegunaan tempatan seperti ruang solat utama, ruang solat terbuka atau ruang seminar dan arah kiblat ke Makkah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 8:43 PM