Mohd Khairi (dua dari kanan) di majlis pelancaran Projek Perumahan Laman KPFB, Perasmian Bangunan Baru KPFB dan Hari Raya KPFB di Desa Melawati, Kuala Lumpur, hari ini.
Mohamad Hussin


KOPERASI Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Berhad (KPFB) perlu menekankan dua aspek penting dalam menyusun semula model perniagaan koperasi dan memperkasakan pengurusan koperasi.

Pengerusi FELCRA Bhd Datuk Nageeb Wahab berkata, kedua-dua aspek berkenaan perlu dibuat secara serius dan mendalam demi kesinambungan survival untuk hidup dalam Koperasi Peserta Rancangan (KPR).

Menurutnya, beliau meminta supaya Bahagian Hal Ehwal Peserta melihat kedua-dua perkara penting itu menerusi langkah perancangan pembangunan koperasi jangka panjang yang berkesan.

“Saya melihat aspek ini perlu diberi perhatian oleh KPR di FELCRA iaitu menyusun semula model perniagaan koperasi supaya ia tidak bergantung 100 peratus kepada peluang kerja dalam agensi terbabit.

“Kita juga perlu memperkasakan pengurusan koperasi supaya diurus tadbir oleh mereka yang profesional dalam kalangan peserta mahupun anak-anak peserta terbabit.

“Dalam menyahut seruan kerajaan, FELCRA mewujudkan 157 KPR di seluruh negara membabitkan lebih 50,000 peserta,” katanya selepas merasmikan majlis pelancaran Projek Perumahan Laman KPFB, Perasmian Bangunan Baru KPFB dan majlis Hari Raya KPFB di Desa Melawati, Kuala Lumpur, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pegawai Operasi FELCRA Mohd Khairi Mahamor.

Hadir sama Pengerusi KPFB Datuk Sabari Misran dan Pengurus Besar KPFB Sulaiman Jaafar.

Nageeb berkata, jumlah saham terkumpul KPFB sehingga Disember tahun lalu adalah sebanyak RM74 juta, manakala jumlah aset terkumpul pula berjumlah RM135.71 juta.

“Saya lihat KPFB semakin matang dalam menangani cabaran perniagaan khususnya pemasaran, pertanian, teknikal, kewangan, niaga dan bekalan tenaga kerja asing.

“Sebanyak lima arah tuju strategik yang perlu diberi perhatian oleh KPFB antaranya sektor perkhidmatan kewangan, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, pertanian dan industri asas tani (IAT) serta perladangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 9:41 PM