ANAK jati Kelantan terbabit dalam projek pembinaan masjid.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


GUA MUSANG: Bukan saja Masjid Muhammadi di Kota Bharu yang menjadi tumpuan pelancong, malah Gua Musang juga bakal menarik bilangan pengunjung yang lebih ramai selepas sebuah masjid yang menyerupai model Masjidilharam, Makkah siap dibina hujung tahun ini.

Masjid Razaleigh bakal menjadi mercu tanda baharu Gua Musang dan Kelantan untuk menarik pelancong yang akan menjadikan pengunjung seolah-olah mereka berada di Masjidilharam, Makkah.

Masjid Razaleigh yang berkeluasan 70,000 kaki persegi dibina menyerupai model Masjidilharam bernilai lebih RM28 juta diilhamkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di atas tanah berkeluasan 1.5 hektar.

Masjid dengan rekaan unik dan menarik itu menggunakan bahan binaan berkualiti tinggi termasuk jubin mula dibina akhir 2016 dan dijangka siap sebelum hujung tahun ini mampu menampung sehingga 3,500 jemaah pada satu masa.

Keunikan masjid berkenaan bukan sahaja besar tetapi tertumpu kepada rekaan warna, jubin, hiasan dalaman dan hiasan luar termasuk dilengkapi sembilan menara setinggi 30 meter dan tujuh kubah mirip Masjidilharam, Makkah.


RUANG solat terbuka yang boleh menampung sehingga 3,500 jemaah.

Pengarah Projek Inspirasi Perkasa Sdn Bhd, Mohd Mizi Miah berkata, masjid berkenaan sudah 95 peratus siap dan kini dalam proses ukiran di bahagian luar termasuk kubah dan menara.

Beliau yang juga kontraktor utama masjid berkata, ukiran dalaman dan luar diinspirasi daripada Masjidilharam sebelum ia diubah suai.

“Masjid ini akan menjadi ikon kepada negeri Kelantan dan Gua Musang bagi menarik pelancong dalam negeri dan luar mengunjungi lokasi ini.

“Ia bukan sahaja dibina untuk dijadikan sebagai tempat solat umat Islam, malah masjid ini turut dilengkapi kemudahan seperti ruang solat utama; ruang solat terbuka, dewan serba guna, rumah imam, ruang kelas, bilik komputer, perpustakaan, tandas dan tempat letak kereta yang cukup.

“Pembinaan ikon negeri ini bertujuan memberi kemudahan kepada masyarakat setempat dan pengunjung dari luar untuk menunaikan ibadat lebih selesa kerana ia dilengkapi pendingin hawa.

“Selain itu, pembinaannya juga bertujuan untuk menyemarakkan lagi aktiviti di masjid termasuk penganjuran seminar, ilmu agama, kelas tuisyen dan ceramah kepada komuniti setempat,” katanya.

Menurutnya, masjid berkenaan juga bakal ‘dihidupkan’ dengan pelbagai aktiviti selama 24 jam.

Katanya, selain itu, tujuan pembinaan masjid juga untuk menambah pendapatan kepada penduduk sekitar apabila dapat menjalankan aktiviti ekonomi dalam bidang perniagaan.


PEMBINAAN masjid hampir 95 peratus siap.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff berkata, pembinaan masjid baharu itu untuk menggantikan Masjid Razaleigh yang lama.

Katanya, keunikan masjid itu apabila menggunakan kepakaran arkitek dan bahan binaan yang dikeluarkan 100 peratus orang tempatan.

“Ia menunjukkan pakar tempatan juga mampu membina sebuah masjid yang bukan sahaja indah dan unik, tetapi akan menjadi tumpuan jemaah untuk menunaikan solat memandangkan Gua Musang menjadi laluan utama pengguna untuk ke Kuala Lumpur.

“Ciri-ciri reka bentuk masjid itu mirip Masjidilharam yang lama sebelum bermulanya pengubahsuaian Masjidilharam dan secara amnya dari tahun 2006.

“Ruang solat utama seakan-akan di King Abdul Aziz dan Safa Marwah, tetapi ia diubah suai mengikut kesesuaian bagi kegunaan tempatan seperti ruang solat utama, ruang solat terbuka atau ruang seminar dan arah kiblat ke Makkah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 6:30 AM