Noor Atiqah Sulaiman


PENGGUNAAN rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah ketika ini membimbangkan.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, jawatankuasa khas berkaitan rokok elektronik atau vape yang diketuainya akan mencari jalan bagi mengawal penggunaannya khususnya membabitkan pelajar bawah 18 tahun.

“Saya baru saja diamanahkan untuk mengetuai jawatankuasa itu yang mana kita akan mengkaji bagaimana cara untuk tangani masalah penggunaan rokok elektronik.

“Penggunaan rokok elektronik ini memberi impak negatif ke atas kesihatan dan ia sudah dibuktikan melalui kajian saintifik.

“Selain itu, ia memberi kebimbangan kepada pihak kementerian kerana penjual rokok elektronik ini turut membuat promosi dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Institut Kanser Negara 2018 di Putrajaya hari ini.

Dr Boon Chye berkata, jawatankuasa berkenaan akan menjalankan usaha dan gerak secepat mungkin bagi mengatasi masalah penggunaan vape.

“Ini termasuk pembentangan rang undang-undang baharu berkaitan rokok elektronik.

“Kebetulan kita sudah lama rancang mengenai rang undang-undang itu dan berharap ia dapat dibentangkan akhir tahun ini atau awal tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap ibu bapa memainkan peranan memantau pergerakan anak mereka.

“Saya berharap ibu bapa dapat memberi perhatian khusus kerana rokok elektronik ini banyak dijual secara atas talian, terutama melalui media sosial.

“Kementerian turut menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memantau hal ini,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan bakal merumuskan kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik atau vape tidak lama lagi.

Ini berikutan, satu jawatankuasa khas ditubuhkan kementeriannya yang diketuai Dr Boon Chye kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 1:00 PM