ANTARA rokok seludup yang berjaya dirampas dalam Ops Tembakau. FOTO/ Amran Yahya
MOHD Ridzzuan (kanan) menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas dalam Ops Tembakau pada sidang media di Kompleks Rakan Muda. FOTO/ Amran Yahya


AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok di Kampung Dioh Besar, Kuala Pilah dengan rampasan bernilai lebih RM1 juta, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Strategik AKSEM, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, pihaknya merampas 6,860 karton rokok kretek pelbagai jenama yang tidak lulus cukai kastam.

Katanya, rampasan itu membabitkan rokok bernilai RM411,600 dan cukai bernilai RM670,414.10.

“Rampasan dibuat jam 6 pagi selepas anggota penguat kuasa kami mengekori dua van yang mencurigakan dari arah selatan tanah air sehingga ke Kuala Pilah.

“Sebaik tiba di ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Dioh Besar, van itu diberhentikan sebelum dua pemandunya melarikan diri,” katanya pada sidang media di Kompleks Rakan Muda, hari ini.


ANTARA rokok seludup yang berjaya dirampas dalam Ops Tembakau. FOTO/ Amran Yahya

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah AKSEM, M Elanngovan dan Pengarah AKSEM Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali.

Mohd Riddzuan berkata, pemeriksaan dalam kenderaan menemui 6,860 kartok rokok seludup selain pihaknya turut menemui nombor pendaftaran palsu bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

“Siasatan awal mendapati semua rokok ini bukan untuk pasaran di daerah ini sebaliknya hanya menggunakan laluan ke Kuala Pilah untuk dipasarkan ke pantai timur.

“Selain rampasan rokok, kami menyita dua kenderaan itu yang bernilai RM220,000,” katanya.

Beliau berkata, kes itu akan dikendalikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 4:06 PM