POLIS sudah merakam percakapan salah seorang pelajar yang juga saksi kejadian dan akan memanggil saksi lain bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kes pukul hingga seorang remaja cedera muka, kepala dan muntah darah kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti kumpulan remaja di tempat kejadian dan akan memanggil saksi lain bagi membantu siasatan.

“Buat masa ini, hanya dua orang (remaja) ditahan (semalam) dan seorang yang lain dirakamkan percakapannya, saksi lain akan dipanggil untuk dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan.

“Mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultan Ismail (HSI) semalam,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Azman Adnan berkata, disebabkan kes berlaku di luar kawasan sekolah dan dalam siasatan polis, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Bagaimanapun, kami akan mendapatkan maklumat siasatan polis dan menjalankan tindakan susulan termasuk mengadakan sesi kaunseling kepada semua pelajar terbabit seperti mana prosedur perkhidmatan bimbingan kaunseling yang disediakan,” katanya.

Semalam, portal berita Harian Metro melaporkan, disebabkan memburukkan rakan sebaya seorang remaja lelaki cedera muka, kepala dan dada selepas ditendang dan ditumbuk dua pelajar sekolah dalam pergaduhan di taman permainan, Taman Setia Indah, Johor Bahru petang kelmarin.

Shahurinain dipetik sebagai berkata, dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa berada di bengkel motosikal di Taman Setia Indah sebelum menerima panggilan telefon daripada rakannya.

Katanya, rakan lelaki mangsa meminta mangsa yang juga remaja berusia 15 tahun dari Bandar Jaya Putra dekat sini, berjumpanya di taman permainan, Taman Setia Indah.

“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa bertemu rakannya dan seorang remaja lain masing-masing berusia 16 tahun dan masih bersekolah.

“Berlaku pertengkaran antara mereka bertiga sebelum dua rakannya itu menendang dan menumbuk muka, kepala dan dada mangsa sebelum beredar.

“Akibat kejadian itu mangsa bengkak di kepala, mata, sakit mata dan muntah darah,” katanya.

Menurutnya, pada 6.12 petang semalam, mangsa datang ke Balai Polis Setia Indah untuk membuat laporan.

Katanya, bertindak atas laporan itu sepasukan polis menahan dua remaja lelaki di rumah mereka di Taman Daya.

“Siasatan awal mendapati, pergaduhan disebabkan mangsa memburukkan nama dan perangai suspek kepada orang lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita berkaitan

Dua pelajar ditahan kerana pukul rakan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 6:57 PM