Zuhainy Zulkiffli


JABATAN Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) digesa supaya menyiasat segera cecair berbuih putih mencemarkan Sungai Keluang, berhampiran zon perindustrian Bayan Lepas.

Ia berikutan cecair itu dikhuatiri mengandungi bahan kimia berbahaya, sekali gus mengancam alam sekitar, sumber pendapatan nelayan dan menjejaskan kesihatan orang ramai.

Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kadeer berkata, tinjauan CAP mendapati sisa itu mengalir dari kawasan perindustrian seterusnya masuk ke dalam sungai.

Beliau berkata, tinjauan dibuat menerusi aduan orang ramai itu mendapati air sungai itu kemudian mengalir ke kawasan pangkalan nelayan dan laut berdekatan.

“Sisa beracun mengancam sungai itu bukan sahaja menjejaskan mata pencarian nelayan di kawasan terbabit, malah ikan dan kerang yang menjadi sumber pendapatan utama mereka akan mati dan pupus.

“CAP percaya jika pihak berkenaan tidak melakukan siasatan dan tindakan segera, peristiwa pernah berlaku ke atas Sungai Juru di daerah Seberang Perai Tengah suatu ketika dulu dan Sungai Kim Kim, Johor baru-baru ini mungkin berulang,” katanya dalam kenyataan di Georgetown, hari ini.

Menurut Mohideen, CAP kesal kerana pihak bertanggungjawab dalam setiap kejadian pencemaran gagal mengesan punca masalah berkenaan lebih awal sehingga keadaan menjadi lebih buruk seperti berlaku di Pasir Gudang.

Justeru, CAP berharap JAS dan MBPP dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan pemantauan lebih kerap di semua kawasan perindustrian dan sungai di Pulau Pinang bagi memastikan kilang mematuhi undang-undang sedia ada.

“Pencemaran kumulatif dari sesuatu kawasan perindustrian perlu diberi perhatian kerana terdapat beban perlu ditanggung badan air seperti sungai.

“Malah, hasil siasatan dan kajian mengenai pencemaran Sungai Keluang itu perlu didedahkan kepada umum dengan secepat mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 9:09 PM
SUNGAI Keluang berhampiran Kawasan Perindustrian Bayan Lepas dipercayai tercemar dengan sisa buangan. FOTO Mikail Ong.