TENGKU Razaleigh melawat Pejabat khidmat DUN Galas dan Pejabat PEKA. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyokong Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menyiasat dan meneliti segala dokumen berkaitan perbelanjaan UMNO.

Tengku Razaleigh berkata, desakan haramkan UMNO tidak boleh dibuat secara terburu-buru dan perlu dibuktikan dahulu parti itu menerima wang daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Ini negara mengamalkan demokrasi. Kita harap mereka tidak menyalah guna kebebasan diberi oleh sistem demokrasi. Dia boleh buat petisyen atau laporan supaya ambil tindakan terhadap UMNO.

“UMNO pula tidak akan berdiam diri dan mesti mempertahankan segala tuduhan itu,” katanya selepas merasmikan Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Pejabat Pertubuhan Kebajikan Asnaf (PEKA) Gua Musang di Bandar Utama, Gua Musang, semalam.

Tengku Razaleigh juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO berkata, UMNO negeri dan bahagian tidak bersalah dalam hal ini kerana menerima wang daripada saluran yang sah iaitu dari Ibu Pejabat UMNO.

“Daripada dulu lagi ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad jadi Presiden UMNO lagi, zaman Tun Hussein Onn, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan zaman Tunku Abdul Rahman.

“Sepanjang masa kita terima wang daripada Ibu Pejabat UMNO. Kita tak pernah tanya duit ini dicuri di mana, tiba-tiba zaman Najib, dituduh duit curi,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan ROS sedang meneliti memorandum yang mendesak supaya parti UMNO diharamkan kerana didakwa menerima wang dari 1MDB.

Ketua Pengarahnya Masyati Abang Ibrahim dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima memorandum berkenaan termasuk yang diserahkan kepada JPPM di beberapa negeri antaranya Kelantan, Perak dan Perlis.

Beliau berkata, penelitian terhadap memorandum dan dokumentasi berkenaan akan dibuat berdasarkan peruntukan serta bidang kuasa yang termaktub di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan Pertubuhan 1984.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 11:43 AM