Antara tukang urut lelaki yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat urut gay di Pusat Bandar Puchong. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


TAWAR khidmat urutan badan ke badan untuk lelaki gay pada harga RM80 bagi satu jam.

Itu kegiatan dilakukan sebuah pusat urutan di Pusat Bandar Puchong yang menawarkan khidmat urutan lelaki warga Vietnam bagi menarik golongan gay berkunjung ke premis itu.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas premis itu diserbu penguat kuasa terdiri daripada Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pegawai JIM Selangor 10.30 malam tadi.

Dalam serbuan itu, lapan lelaki warga Vietnam yang bekerja sebagai tukang urut berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan bersama dua pelanggan lelaki tempatan yang menunggu untuk mendapatkan khidmat urutan terbabit.

Seorang daripada pelanggan berusia 30-an memaklumkan sudah dua kali berkunjung ke premis itu untuk mendapatkan urutan daripada tukang urut lelaki.

Dia yang bekerja sebagai kontraktor memaklumkan datang ke premis itu untuk mendapatkan urutan ‘istimewa’ berkenaan selepas ternampak iklan di Internet.

“Dulu saya datang seorang. Kali ini, saya datang bawa kawan sebab dia pun nak cuba (urutan),” katanya yang sudah beristeri namun mengaku sebagai gay.

Pemeriksaan dilakukan di beberapa bilik dalam premis dan menemui kondom, gel pelincir serta peralatan seks dipercayai digunakan untuk seks sejenis.

Pusat urut gay terbabit adalah satu daripada tiga premis yang diserbu dalam operasi itu yang membawa kepada penahanan 51 warga asing terdiri daripada wanita pelayan pelanggan (GRO) serta pekerja termasuk lapan tukang urut lelaki warga Vietnam berkenaan.

Dalam pada itu Ketua Pengarah JIM Datuk Indera Dzaimee Daud berkata, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguat kuasa JIM Selangor di Shah Alam untuk proses dokumentasi.

“Mereka kemudian ditahan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah.

“Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa atas pelbagai pas serta Peraturan 39b kerana melanggar syarat pas di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 3:14 PM