MAYAT lelaki berpakaian lengkap ditemui di tebing Sungai Tuaran berhampiran Kampung Bantayan, Tamparuli. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi

MAYAT lelaki berpakaian lengkap dan memakai topi keledar ditemui di tepi Sungai Tuaran berhampiran Kampung Bantayan, Tamparuli, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mayat Walter Jaimis Charles, 46, dari Kampung Kotunuan Baru, Kiulu, ditemui beberapa penduduk kampung yang sedang memancing di kawasan itu sebelum dilaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim mengesahkan pihaknya menerima laporan penemuan mayat terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati pengadu serta beberapa rakannya sedang memancing sebelum terlihat objek seperti tubuh manusia di tepi sungai.

“Mayat itu dilihat dalam keadaan tertiarap dan masih berpakaian lengkap serta memakai topi keledar.

“Siasatan kes diteruskan namun setakat ini pihak polis percaya mangsa mati sejak sehari lalu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hamizi berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat dan meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tuaran, Abdul Qawi Abdul Gapar berkata, sebaik menerima panggilan pada 10.38 pagi, empat anggota bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mayat berkenaan terdampar di tepi sungai sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada 11.10 pagi,” katanya.

1. KEADAAN mangsa ditemui selepas pihak polis dimaklumkan dan tiba di lokasi.

2. MANGSA Walter Jaimis Charles

tamat

From: Norasikin

Mayat ditemui di Sungai Tuaran

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 5:18 PM