Rohaimi Md Isa.
Skuad Khas Harian Metro


KUALA LUMPUR: Bukit Aman sedang mengenal pasti identiti penyerang rumah aktivis alam sekitar yang disimbah cat dalam kejadian di Sungai Jarom, Kuala Langat pada 26 Jun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata, Op Simbah yang dilancarkan susulan insiden itu bagi menyiasat dan memburu dalang berkenaan dalam proses siasatan lanjut selepas serbuan dilakukan di beberapa kilang memproses sampah sekitar Selangor.

“Kami dalam proses mengenal pasti identiti penyerang ataupun individu yang menyimbah cat berdasarkan beberapa petunjuk yang kami terima. Beri kami sedikit saja masa lagi dan kami percaya suspek akan ditahan. Malah, penahanannya juga akan mendedahkan siapa dalang di sebalik insiden berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam perkembangan sama, Rohaimi menegaskan pihaknya juga berharap semua aktivis atau badan bukan kerajaan (NGO) yang menghadapi masalah ugutan daripada kumpulan gengster supaya tampil membuat laporan polis.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat menghargai usaha aktivis ataupun NGO ini. Jasa mereka amat besar kepada negara, jadi kami (polis) akan memberikan perlindungan keselamatan kepada mereka.

“Mana-mana aktivis atau NGO amat dialukan untuk berkongsi maklumat. Mereka boleh berkongsi melalui hotline yang diwujudkan atau terus membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak menumpukan operasi memerangi kumpulan gengster di kawasan Lembah Klang saja sebaliknya ia diperluaskan ke seluruh negara.

“Kami tidak tertumpu di Lembah Klang saja sebaliknya saya sudah maklumkan kepada Pegawai Turus D7 di setiap kontinjen untuk turut memantau perkembangan ini. Aktivis alam sekitar ataupun NGO di mana-mana negeri boleh tampil berkongsi maklumat dengan mereka,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Hamid Bador mengisytiharkan perang kepada kumpulan gengster yang mendalangi sindiket pengimportan skrap plastik.

“Tidak beri peluang, kalau ada elemen gengsterisme, Ketua Polis Negara (Datuk Seri Abdul Hamid Bador) ada di sebelah saya, dia tidak akan bagi peluang. Malah, kami tidak akan beri ruang langsung dan mesti ada tindakan diambil,” kata Muhyiddin mengulas isu berkenaan.

Bermula 26 Jun lalu, Harian Metro melalui laporan khas mendedahkan segelintir ‘usahawan sampah’ dikesan masih aktif menjalankan kegiatan biarpun premis mereka sudah disita.

Susulan pendedahan itu, rumah aktivis alam sekitar disimbah cat sebelum PDRM melancarkan Op Simbah bagi memburu suspek dan dalang yang terbabit dalam insiden itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 5:30 AM