RAYUAN BSH 2019 boleh dikemukakan sehingga 15 Ogos. FOTO Arkib NSTP.
Siti A’isyah Sukaimi


PERMOHONAN rayuan bagi Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 dibuka bermula hari ini hingga 15 Ogos.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, tempoh itu memberi ruang untuk pemohon mengemukakan rayuan berserta dokumen berkaitan untuk pengesahan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ia juga untuk memastikan program BSH benar-benar disasarkan kepada mereka yang berkelayakan.

“Rayuan boleh dikemukakan secara dalam talian di portal BSH https://bsh.hasil.gov.my/, atau dengan hadir ke mana-mana cawangan/Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDN.

“Kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah dan isu yang timbul sepanjang pelaksanaan BSH.

“Selain itu, kerajaan juga akan sentiasa menambah baik program BSH bagi memastikan bantuan yang diberikan berkesan dan mencapai kumpulan sasar ditetapkan terutamanya golongan B40 dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya, hari ini.

Kementerian memaklumkan bayaran BSH fasa kedua dilaksanakan pada 28 Mei lalu berdasarkan kategori yang merangkumi bilangan anak atau tanggungan dan jumlah nilai BSH 2019 yang akan diterima.

“Pembayaran ini dibuat selepas proses pengesahan dijalankan dan membabitkan 3.6 juta penerima yang diluluskan untuk BSH, dengan peruntukan sebanyak RM1.42 bilion.

“Ini termasuk bayaran untuk tanggungan yang membabitkan 3.2 juta anak penerima BSH berusia 18 tahun ke bawah, terhad kepada empat orang, kecuali anak orang kurang upaya (OKU) yang tidak dihadkan usia mereka,” katanya.

Setakat ini, jumlah keseluruhan pembayaran BSH bagi fasa satu dan dua adalah RM2.62 bilion.

Dalam pada itu, sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta emel kepada [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 11:17 AM