MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin (dua dari kanan) diiringi Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar melawat keadaan di Sekolah Kebangsaan Kopok yang terjejas berikutan pencemaran udara yang masih berlaku di Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEMUA agensi yang terbabit dalam tugasan pemantauan susulan insiden masalah gangguan kesihatan di Pasir Gudang digerakkan secara serentak di 85 sekolah sekitar kawasan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, pembabitan semua agensi itu bagi mengambil bacaan kualiti udara ketika murid dan pelajar berada di sekolah.

Katanya, tindakan itu adalah antara langkah pencegahan yang diambil pada peringkat awal bagi menangani insiden yang berlaku.

“Antara intervensi yang diambil pada peringkat awal ini adalah membentuk satu pasukan petugas yang membabitkan semua agensi penguatkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Ia disertai sama Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pasukan Bantuan Kecemasan Bersama Pasir Gudang (PAGEMA).

“Mereka ini digerakkan untuk membuat pemantauan kualiti udara secara serentak di 85 sekolah yang berada dalam pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang.

“Mereka sudah mula digerakkan dari Stadium Perbandaran Pasir Gudang ke sekolah-sekolah ini yang kita kenal pasti terjejas dalam insiden ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah, MPPG di Pasir Gudang, hari ini.

Turut hadir, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Mohd Khuzzan berkata, langkah yang diambil itu adalah bagi melihat penyelesaian kepada masalah bacaan kualiti udara yang tidak menentu ketika ia dilakukan sebelum ini.

“Hari ini, kita nak lihat sendiri bagaimana jika bacaan kualiti udara ini diambil serentak, kerana masalahnya bacaan ini turun naik. Hari ini kita lihat bacaan sehingga 1 petang di kawasan sekolah kerana majoritinya yang terjejas mereka di tingkat tiga dan empat, bangunan sekolah,” katanya.

Sementara itu, Yeo berkata, data akan dikumpulkan daripada 85 alat pengesan gas yang digerakkan ke sekolah terbabit dan melihat semula ia mempunyai kaitan dengan dapatan yang diperoleh sebelum ini (kehadiran gas).

“Ada 85 alat pengesan gas, kita akan kumpul data secara baik, sama ada, ada hubungan tak dengan apa yang kita tahu sebelum ini.

“Sebelum ini, kita ambil bacaan, contoh baru-baru ini, dua hari kita ambil bacaan, semua baik, tetapi esoknya bila ada murid di sekolah, ada lagi masalah yang mengalami simptom. Jadi, hari ini kita pergi serentak, ambil bacaan dan lihat semula keputusannya.

“Semalam juga, kita ambil tujuh sampel darah dan air kencing mereka yang terjejas, kita hantar ke Jabatan Kimia untuk lihat nanti keputusannya,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 11:18 AM