EXCO Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Phee Boon Poh menunjukkan beg guna semula semasa sidang media selepas merasmikan Program Dialog Ke Arah Bebas Plastik dan Penyedut Minuman Plastik di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown. FOTO Ramdzan Masiam
Zuhainy Zulkiffli


ORANG ramai dinasihatkan mematuhi syarat tambahan yang dikenakan kerajaan Pulau Pinang dalam menjayakan Kempen Katakan Tidak Kepada Plastik pada setiap Isnin bermula hari ini.

Syarat berkenaan juga tertakluk bagi Kempen Bebas Plastik Sekali Guna dan Katakan Tak Nak Kepada Penyedut Minuman Plastik yang dijalankan di Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, antara syarat tambahan yang dikenakan ialah pengguna perlu mengguna bahan alternatif selain plastik yang memberi kesan negatif terhadap alam sekitar.

Katanya, peniaga khususnya disarankan supaya tidak menyediakan penyedut minuman plastik dan plastik sekali guna di premis masing-masing.

“Kempen ini sebenarnya sudah dimulakan sejak dua minggu lalu, sehubungan itu kerajaan negeri akan melaksanakan kaji selidik terhadap kempen ini selama tiga bulan.

“Kaji selidik berkenaan dijalankan bagi mendengar maklum balas orang ramai mengenai inisiatif berkenaan selain penambahbaikan dalam menjayakannya dan mendidik orang ramai,” katanya ketika ditemui di Program Dialog Ke Arah Pulau Pinang Bebas Plastik Sekali Guna dan Pendekatan Tak Nak Penyedut Plastik di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Inisiatif kempen itu bukan dasar atau syarat khas ke atas semua peniaga di Pulau Pinang, namun sebagai usaha mendidik orang ramai supaya cintakan alam sekitar.

Kempen ‘tiada beg plastik percuma’ diperkenalkan kerajaan negeri pada 2009, sekali gus menjadi negeri pertama yang mengarahkan peniaga supaya tidak membekalkan beg plastik kepada pelanggan secara percuma.

Sebelum ini, kerajaan negeri bercadang bagi menaikkan caj beg plastik daripada 20 sen kepada 50 sen sebagai usaha mengurangkan penggunaan barangan itu.

Dalam perkembangan lanjut, Phee berkata terdapat peniaga khususnya pasar raya yang tidak menyerahkan wang kutipan caj beg plastik kepada kerajaan negeri sejak tiga tahun lalu berikutan mengikut undang-undang yang diperuntukkan kerajaan pusat.

Sehubungan itu, perkara terbabit akan dibincangkan bersama Penasihat Undang-undang Negeri supaya ia dapat disemak semula sebelum diseragamkan.

“Sepatutnya peniaga perlu mengikut peraturan kerajaan negeri, justeru tindakan akan diambil terhadap beberapa pasar raya yang tidak menyerahkan wang kutipan itu,” katanya lagi.

Caj 20 sen dikenakan terhadap pengguna di Wilayah Persekutuan pada setiap beg plastik biodegradasi adalah bagi menampung sebahagian kos pengeluaran ditanggung peruncit dan peniaga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 3:41 PM