Antara barang kes yang dirampas polis daripada lelaki dipercayai mabuk. FOTO Ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini


SUDAHLAH menyamun wang tunai dan sebotol minuman, penagih lelaki turut bertindak mengejar pengurus pusat hiburan dengan pisau.

Namun, tindakan penagih yang menimbulkan kekacauan di Butterworth itu berakhir apabila dia diberkas polis 8.20 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek pada 4 petang menyamun sebotol minuman dari sebuah kedai runcit di Kampung Beggali.

“Dalam kejadian itu, suspek bersenjatakan pisau menyamun sebotol minuman dan wang tunai RM50 sebelum melarikan diri serta mengugut akan datang lagi.

“Sebelum itu juga, pada 3.45 petang, suspek mengamuk di hadapan sebuah pusat hiburan di Butterworth dan bertindak mengejar pengurus pusat hiburan itu dengan pisau,” katanya.

Noorzainy berkata, suspek kemudiannya dicekup pada hari sama hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedua-dua premis itu.

“Berdasarkan rakaman CCTV suspek dilihat merosakkan sebuah kereta dalam kejadian di pusat hiburan itu.

“Suspek yang tidak mengenali kedua-dua mangsa dipercayai bertindak demikian kerana mabuk dan berada di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Noorzainy berkata, polis merampas wang tunai RM50 bersama sebotol minuman yang belum dibuka selain sebilah pisau daripada suspek.

Katanya, suspek juga mempunyai tujuh rekod lampau dan positif syabu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 dan 506/427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 3:59 PM