Ahmad Dzaffir (tengah) bersama pegawainya menunjukkan pemilik dan pekerja kedai arak yang ditahan serta minuman keras yangdirampas dalam serbuan di Jalan Pasar Baru, Semenyih di Kajang. Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


TIGA orang termasuk dua pekerja warga Myanmar ditahan selepas didapati menjual arak beracun dalam serbuan di sebuah kedai arak di Jalan Pasar Baru, Semenyih di Kajang pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Jenayah Berat (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang susulan maklumat yang diterima serta risikan pada 1 petang.

“Hasil serbuan itu, seorang lelaki tempatan yang juga dipercayai pemilik kedai serta dua pekerjanya warga Myanmar berusia lingkungan 30-an hingga 45 tahun ditahan.

“Kami turut merampas sebanyak 190 tin minuman yang dianggarkan bernilai RM2,000 dalam serbuan itu,” katanya ketika sidang media di IPD Kajang hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, tangkapan itu dilakukan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki warga asing kerana keracunan metanol pada Jun lalu di daerah itu.

“Kami percaya arak beracun itu dihasilkan di luar negara sebelum diseludup masuk ke negara ini dan menjalani proses pembungkusan semula.

“Semua suspek itu direman selama empat hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana kecuaian hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menghantar beberapa sampel arak yang dirampas terbabit untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia bagi menentukan kandungannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 6:52 PM