Yeo Bee Yin (kanan) melawat keadaan di Sekolah Kebangsaan Kopok yang terjejas berikutan pencemaran udara yang masih berlaku di Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


“BAGAIMANA kita nak putuskan bila isu ini akan selesai kerana selagi ada yang alami simptom, kita tidak akan berhenti buat pemantauan,” kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Yeo berkata, jika isu itu dikatakan selesai melalui bacaan kualiti udara, ia boleh dianggap selesai kerana bacaan kualiti udara dalam keadaan baik.

“Kita buat pemantauan, bagaimana definisi selesai itu? Jika daripada bacaan, saya boleh kata ia dah selesai, tetapi simptom itu ada lagi.

“Kita perlu beri keyakinan kepada pelajar, kerana mereka ada yang resah, ada yang risau, kerana mereka fikir insiden Sungai Kim Kim akan berulang.

“Bila saya tanya bau, katanya bau asap, tetapi kalau bau asap, itu bukan bau gas Methyl Mercaptan. Kalau gas itu baunya seperti kubis busuk, bukan bau asap,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini.

Yeo berkata, pihaknya sudah bertemu dengan pelbagai pihak dan melihat insiden kali ini sebagai unik.

“Pagi ini, saya sudah ke sekolah, jumpa mereka yang mengalami simptom di Klinik Kesihatan (KK), saya jumpa doktor, saya juga jumpa masyarakat, lihat cara mereka menjalani kehidupan, hasil pemerhatian, kes ini saya anggap unik.

“Unik kerana mereka yang alami simptom ini bertaburan, kita buat simulasi, lihat hala tuju angin, lihat kelajuan angin, ia tidak datang kepada satu punca atau sumber.

“Jabatan Kimia sekali lagi buat ujian ke atas sampel air kencing dan darah mereka yang alami simptom, walaupun belum siap, tetapi kandungan Volatile Organic Compounds (VOS) semua negatif.

“Darah, urin, semua negatif, orang yang terbabit bertaburan dalam radius yang besar, simulasi juga tidak jumlah sumber dan punca, ini kita hadapi dari awal, sebab itu saya kata ia kes sangat unik,” katanya.

Selain itu, Yeo berkata, insiden yang berlaku sejak 20 Jun itu turut dianggap unik kerana hanya berlaku di kawasan sekolah.

“Unik kerana ia berlaku di sekolah saja dan ketika ada sesi persekolahan saja, sedangkan Pasir Gudang ini ada ramai penduduk, ada kilang, tetapi ia berlaku hanya di sekolah.

“Bila kita ambil bacaan kualiti udara di sekolah yang muridnya dilaporkan alami simptom atau yang sedang disaring di KK, bacaan rendah dan normal, maka ia tidak sepadan dengan keadaan,” katanya.

Beliau berkata, dua peringkat saringan kesihatan dijalankan ke atas mereka yang mengalami simptom iaitu di sekolah dan KK sebelum dirujuk ke hospital jika perlu.

“Sekarang kita buat dua peringkat saringan, satu di sekolah, kemudian di KK.

“Jika benar-benar ada simptom yang betul dan perlu pemerhatian lanjut, baru kita hantar ke hospital, tetapi tidak semestinya dimasukkan ke wad.

“Ini kerana ada yang mungkin hanya alami keresahan saja dan lihat hari ini, hanya empat orang dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Menurut Yeo, daripada hasil pemantauan di sekolah hari ini, kebanyakan bacaan kualiti udara adalah sifar dan ada juga turun dan naik mengikut keadaan angin.

“Jika kehadiran gas yang sekejap ada sekejap tiada ini biasanya ia tidak memberi kesan kepada kesihatan, kerana kesan biasanya jika pendedahannya lebih panjang.

“Tetapi, mungkin ada yang terkesan ini mereka yang terlalu sensitif terhadap keadaan ini,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 7:01 PM