Foto hiasan
Foto hiasan
Shamsul Munir Safini


MARAH selepas tidak diberi wang, seorang lelaki disyaki penagih dadah bertindak membakar motosikal rakan kakaknya dalam kejadian di Bajan Dalam, Butterworth, semalam.

Selain itu, lelaki berusia 33 tahun berkenaan mengugut polis dengan pisau yang cuba menahannya pada 10.40 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tindakan agresifnya itu dapat ditangani anggota polis sebelum berjaya menahannya.

Menurutnya, kejadian itu pada mulanya dimaklumkan kepada polis oleh kakak suspek sendiri selepas melihat motosikal rakannya terbakar.

“Wanita berkenaan membuat laporan polis pada 7 pagi tadi selepas menyedari motosikal rakannya terbakar sejurus dimaklumkan jirannya.

“Jirannya memberitahu bahawa adik lelakinya membakar motosikal itu kira-kira 6 petang semalam selepas mengamuk kerana tidak diberikan duit oleh keluarganya untuk membeli dadah,” katanya.

Noorzainy berkata, suspek dikatakan kerap mengamuk dan meminta wang daripada kakak serta adik-beradiknya yang lain untuk membeli dadah.

Menurutnya, dia akan bertindak merosakkan barangan dalam rumah sebelum ini sekiranya permintaannya tidak diturutkan.

Katanya, suspek juga didapati positif dadah dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 8:07 PM